» » PAC cadang umum laporan ringkas siasatan skandal 1MDB kepada rakyat Malaysia


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mungkin akan mengeluarkan laporan ringkas berhubung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), susulan tekanan daripada orang ramai, kata Dr Tan Seng Giaw.

Timbalan pengerusi PAC itu berkata, laporan ringkas itu akan didedahkan bagi memaklumkan kepada orang ramai tahap siasatan PAC, susulan penangguhan prosiding sehingga Oktober.

"Dengan tekanan orang awam, PAC mungkin terpaksa mengeluarkan laporan ringkas, bagi memberitahu orang ramai setakat mana siasatan dibuat sebelum prosiding ditangguhkan selama hampir 3 bulan," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, PAC masih sedang mempertimbangkan perkara itu memandangkan mereka khuatir sekiranya tindakan berkenaan melanggar mana-mana undang-undang.

"Kita sedang mempertimbangkan kerana kita mesti ambil kira undang-undang, apakah maklumat yang kita boleh beri tanpa melibatkan undang-undang.

"Kita mesti mendaulatkan undang-undang, sebab itu kita mesti mempertimbangkan semasak-masaknya," katanya.

Beliau berkata, rakyat membangkitkan isu berhubung 1MDB di media sosial dan mereka ingin mengetahui hakikat sebenar isu tersebut.

"Media sosial memaparkan pelbagai versi cerita 1MDB, rakyat ingin tahun hakikatnya.

"Hari ini, kami hadir bersedia meneruskan kerjanya. PAC mungkin terpaksa mengumumkan peringkat penyiasatan 1MDB sebelum kerja diberhentikan," katanya kepada pemberita.

Ahli Parlimen Kepong dari DAP itu berkata, di sesetengah negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, penyiasatan sepenting ini khasnya mesyuarat pendengaran disiarkan secara terbuka.

"Setakat ini, Malaysia belum ada amalan seumpama ini," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan mempunyai program untuk mengurangkan hutang 1MDB dalam 6 bulan.

"Ia tunggu laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

"Memandangkan kerajaan sudah ada program, adalah wajar untuk PAC meneruskan penyiasatan 1MDB tanpa gangguan, semua pihak patut membantu," katanya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral dijadualkan hadir di hadapan PAC hari ini untuk memberikan keterangan dalam prosiding mereka berhubung isu membabitkan hutang berjumlah RM42 bilion syarikat tersebut.

Turut dipanggil menghadap jawatankuasa di Parlimen itu adalah Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung isu sama.

Prosiding berkenaan bagaimanapun tidak berjalan susulan penangguhan prosiding oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah.

Tindakan itu ekoran pelantikan 4 anggota PAC, termasuk pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik menjadi timbalan menteri dalam negeri, ke dalam Kabinet baharu Najib, susulan rombakan yang berlangsung pada minggu lepas.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .