Melayu akan "bangsat" jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus kekal berkuasa dan tidak dipecat, kata bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
"Orang Melayu akan bangsat jika sekiranya Najib terus berkuasa. Bangsa Melayu akan berpecah seterusnya bangsat seandainya Najib tidak disingkirkan.
"Sekiranya Najib asyik syok dan angau sendiri, selagi itulah Umno serta BN akan goyah," tulis Khairuddin di dalam Facebooknya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada ucapan Najib yang juga presiden Umno semalam yang mengatakan Melayu akan bangsat sekiranya Umno hilang kuasa.
Bagaimanapun, Khairuddin berkata, Umno dan BN akan jadi lebih kuat jika Najib meletakkan jawatannya.
"Tanpa Najib, Melayu serta keseluruhan bangsa di negara kita akan bersatu kerana masa kini kita sedang hadapi krisis keyakinan terhadap perdana menteri dengan begitu teruk sekali dalam salasilah sejarah politik tanah air.
"Rakyat bukan sahaja kehilangan keyakinan tetapi tidak percaya lagi kepada kepimpinan mahupun keperibadian Najib.
"Beliau buatlah apa sekalipun untuk menipu dan memperbodohkan rakyat jelata namun keseluruhan warganegara kita tidak boleh diperbodohkan lagi oleh beliau," katanya.
No comments: