Mohamed Azmin Ali berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hilang kredibiliti dalam mentadbir negara dan perlu meletak jawatan apabila bertindak menukar 2 pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan presiden PKR itu berkata, tindakan Najib jelas sebagai satu usaha merencatkan siasatan badan anti-rasuah itu dalam melaksanakan tugas mereka.
"Perdana menteri bertanggungjawab kerana tindakan memburu pegawai kerajaan seperti ini tidak pernah berlaku dalam negara kita.
"Mengapa satu badan bebas seperti SPRM menjadi mangsa kepada Barisan Nasional (BN)?
"Mengapa mereka ditekan dan diugut dalam usaha mereka mencari kebenaran?
"Beliau harus meletak jawatan kerana kredibilitinya musnah sama sekali dalam hal ini dan Putrajaya harus bertanggungjawab terhadap situasi ekonomi hari ini," kata Azmin kepada pemberita sewaktu ditemui di Batu Caves, Selangor pagi ini.
Beliau berkata demikian sewaktu mengulas pertukaran Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Bahagian Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaakob yang ditukarkan serta-merta ke Jabatan Perdana Menteri semalam.
Arahan itu tiba selepas Bahri mengeluarkan kenyataan beliau berikrar akan mencari "sehingga ke lubang cacing" pihak yang mengarahkan gangguan polis terhadap siasatan dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rohaizad pula diarahkan bertukar selepas menerima kunjungan hormat pemimpin pembangkang di pejabat mereka di Putrajaya, bagi menyatakan sokongan terhadap agensi itu yang dilihat berdepan gangguan susulan siasatan polis ke atas mereka.
Bercakap lanjut, Azmin yakin langkah pertukaran 2 orang pegawai SPRM itu akan terus memburukkan ekonomi negara.
"Sudah tentulah ia memberi kesan buruk kepada ekonomi negara kerana pentadbiran ini bukan sahaja menekan pimpinan politik, NGO dan pertubuhan sivil tetapi juga menekan pegawai-pegawai kerajaan.
"Tetapi saya harap dan berdoa SPRM dapat berteguh kuat mempertahankan kedaulatan negara dan tidak bersekongkol dengan perasuah dan perompak dalam negara hari ini," kata menteri besar Selangor itu.
sumber




No comments: