Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya lebih sedar diri ketika ini. Hakikat beliau semakin ditolak dan tidak dikehendaki lagi memimpin negara ini sudah boleh dilihat di mana-mana.
Jika selama ini penolakan itu lebih banyak tersimpan dalam hati atau lebih kerap diluahkan di kedai-kedai kopi atau dalam kata-kata melalui hujung jari, tetapi kini ia tidak lagi dilakukan secara sembunyi-sembunyi.
Sudah ada yang berani meluahkannya dalam mesyuarat perwakilan Umno sendiri. Di Langkawi, seorang perwakilan bernama Anina Saaduddin menyifatkan Najib selama ini "kencing" 3 juta ahli Umno serta menyarankan Majlis Tertinggi (MT) Umno membawanya segera berubat.
Di Pasir Gudang, seorang ketua Wanita Umno cawangan yang juga ahli Jawatankuasa Bahagian Norwati Abdul Manaf menyerahkan sendiri memorandum 12 perkara kepada Najib ketika beliau hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Pasir Gudang pada Ahad lalu.
Memorandum yang didakwa mewakili 107 cawangan itu antaranya meminta Najib berehat daripada jawatannya dan membatalkan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan yang dibuat sebelum ini.
Pergerakan Pemuda Umno Labis juga mahukan Najib berehat buat sementara sehingga siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diselesaikan.
Selain itu, pelbagai cara lagi dilakukan untuk meluahkan perasaan bagi menunjukkan penolakan itu. Ada yang membuat kain rentang, pelekat kereta, tulisan di baju dan macam-macam lagi.
Di media sosial atau percakapan hari-hari, barangkali tidak sah jika tidak menyebut perlunya Najib segera berundur sama ada bagi menyelamatkan Umno atau pun negara.
Di bawah ini antara tanda-tanda penolakan yang dapat dikumpulkan oleh blog ini untuk tatapan kita bersama. Selepas ini pasti lebih banyak lagi penolakan yang sama yang muncul di depan mata kita. Tidak mustahil juga lebih ramai pemimpin Umno sendiri meluahkannya dalam mesyuarat perwakilan yang sedang berlangsung di seluruh negara.
Melalui benih penolakan yang mulai merata di mana-mana ketika ini, bukan saja dakwaan Najib yang 3 juta ahli Umno tetap menyokongnya boleh dipersoalkan, malah yang lebih perlukan jawapan ialah berapa lamakah lagi beliau mampu bertahan?
No comments: