Datuk Seri Najib Razak boleh terus kekal sebagai perdana menteri, tetapi keadaan ekonomi negara akan terus tidak stabil dan terumbang-ambing, kata Datuk A Kadir Jasin hari ini.
Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) itu berkata, Najib boleh memilih untuk terus bertahan dengan menggunakan kuasa pentadbiran, tetapi pemerintahan dan ekonomi negara akan terus terumbang-ambing kerana kredibiliti Putrajaya rendah.
"Umno dan Barisan Nasional (BN) akan semakin lumpuh dan pembangkang mempunyai modal besar untuk pilihan raya umum akan datang," katanya melalui tulisan di blognya hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, pihak yang menentang Najib boleh menggunakan kuasa perundangan (legislatif) untuk memaksa beliau berundur melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Katanya, ahli Dewan Rakyat daripada BN dan pembangkang boleh membuat pakatan dua pihak untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau atau melalui perutusan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Katanya, rakyat juga boleh menggunakan saluran kehakiman kerana pendapat umum dan kebijaksanaan konvensional mengatakan sudah terdapat bukti yang mencukupi untuk mendakwa Najib di mahkamah berkaitan "derma" SRC International dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
"Gerakan massa boleh menggunakan keingkaran sivil secara aman dan sah dalam semangat Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela untuk memaksa beliau meletakkan jawatan," katanya.
Katanya, jalan keluar terhormat dan terjamin bagi Najib adalah melalui rundingan selamat di mana beliau tidak akan dituduh di mahkamah dengan syarat meletakkan jawatan, satu tindakan yang diidamkan pembangkang kerana ia akan memberikan mereka modal baru untuk pilihan raya umum akan datang.
"Kaedah kelima bukanlah baharu dalam sejarah Malaysia cuma ia belum pernah membabitkan seorang perdana menteri.
"Ramai pemimpin politik daripada menteri, menteri besar, ketua menteri dan ahli parlimen meletakkan jawatan bagi mengelak daripada diseret ke mahkamah atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.
"Tetapi ada juga pemimpin tertinggi Umno-BN yang memilih untuk dibicarakan daripada mengundurkan diri secara sukarela. Ada yang sabit kesalahan dan ada yang dibuang kes," katanya.
Katanya, Najib boleh memilih untuk bertahan menggunakan kuasa politik dan wang untuk menambat hati ketua Umno bahagian dan anggota Kabinet atau menggunakan taktik peras ugut.
Najib juga katanya boleh menggunakan kuasa pentadbiran untuk membeli kesetiaan kakitangan awam atau mengenakan tekanan ke atas mereka seperti yang dilakukan ke atas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
"Malangnya, bagi rakyat jelata masalah mereka tidak akan dapat ditangani dengan berkesan kerana tumpuan perdana menteri adalah untuk menyelamatkan diri beliau dahulu selain hakikat kerajaan pimpinan beliau hilang keyakinan umum," katanya
Kadir turut membidas pihak penentang Najib, khususnya ahli Parlimen yang pada mulanya sepakat perdana menteri perlu disingkirkan demi kelangsungan negara, tetapi tidak mempunyai keazaman politik untuk berpakat menjatuhkan beliau melalui undi tidak percaya.
"Sementara di kalangan elit Umno dan BN pula, hipokrasi menjadi kata kunci – di depan puji dan puja di belakang caci dan cerca. Tetapi suara berani ahli akar umbi meminta Najib mengundurkan diri sudah mula kedengaran di mesyuarat agung tahunan bahagian-bahagian Umno," katanya.
No comments: