Undang-undang yang mengawal kandungan Internet di Malaysia akan dipinda untuk melindungi rakyat daripada "fitnah" dan "character assassination" (tindakan yang boleh memusnahkan imej baik individu), kata menteri komunikasi dan multimedia baharu, Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak.
Langkah itu diambil ketika Putrajaya bergelut untuk menjawab dakwaan yang dibuat melalui Internet mengenai syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menyaksikan kerajaan cuba "menutup" laman web pemberi maklumat Sarawak Report.
Pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu juga akan membangkitkan persoalan kepada janji berulang kali dibuat pentadbiran Najib untuk tidak menapis Internet dan membenarkan kebebasan bersuara.
"Oleh itu, kita mesti menyemak semula akta itu supaya kita dapat seimbangkan antara tidak menyekat kebebasan bersuara dan meneruskan dengan kebebasan maklumat, sementara pada masa yang sama melindungi rakyat Malaysia daripada perbuatan jenayah yang kelihatan menjadi trend akhir-akhir ini," Salleh menulis dalam posting di blognya hari ini.
"Sambil Malaysia akan terus menegakkan kebebasan bersuara dan hak untuk mendapat maklumat, kita juga perlu melindungi rakyat Malaysia daripada fitnah, umpatan dan 'character assassination'.
"Tiada negara di dunia ini menyatakan kebebasan untuk berbohong dan menfitnah termasuk dalam kebebasan bersuara," Salleh menulis.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), yang terletak di bawah kementerian itu, menyekat akses kepada Sarawak Report, mendakwa ia memalsukan bukti dalam skandal kewangan 1MDB.
Laman web yang berpangkalan di London itu aktif menerbitkan dokumen yang didakwanya menunjukkan bagaimana dana berkaitan 1MDB disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Putrajaya mendakwa banyak pendedahan yang dibuat Sarawak Report adalah palsu, tuduhan yang dinafikan laman web itu.
Dakwaan aliran wang ke dalam akaun Najib juga diterbitkan awal bulan lalu oleh The Wall Street Journal (WSJ).
"Rakyat Malaysia seolah-olah mempunyai tanggapan yang Internet dan media sosial adalah domain tanpa undang-undang, di mana apa pun boleh dan tiada peraturan perlu dipatuhi.
"Ia sebenarnya bukan begitu," tulis Salleh, menjelaskan mengapa akta itu perlu dikaji semula.
Salleh berkata apabila kerajaan pertama kali menggubal akta tersebut pada 1998, ia tidak menjangkakan populariti Internet dan penggunaan meluas media sosial akan terjadi.
Beliau berkata penggunaan Internet yang popular juga menyumbang kepada jenayah seperti penipuan, kecurian data, kecurian identiti dan pemalsuan berita dan dokumen.
"Keselamatan negara dan ketenteraman awam juga menjadi kebimbangan, dan ia boleh terjejas jika tiada kawalan yang sepatutnya terhadap apa yang dilakukan dan diperkatakan."
sumber
No comments: