» » Makin banyak pula persoalan timbul selepas SPRM umumkan RM2.6 bilion Najib Razak hanya derma


Ketika rakyat Malaysia mengakhiri hari bekerja mereka pada Isnin pertama pada bulan Ogos semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba-tiba mengeluarkan kenyataan mengesahkan wang RM2.6 bilion (AS$700 juta) memang wujud dalam akaun bank peribadi milik Datuk Seri Najib Razak Razak pada 2013.

Tetapi jumlah wang yang sangat besar itu datangnya daripada penderma, yang tidak dikenal pasti, dan bukannya daripada syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakikatnya, pendedahan asal The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai tidak pernah mengatakan wang itu datang daripada 1MDB.

“Kerajaan meneliti dokumen yang penyiasat percaya merupakan pergerakan tunai di antara agensi kerajaan, bank dan syarikat berkait 1MDB sebelum ia berakhir di akaun peribadi Najib.

"Dokumen yang disemak WSJ termasuk borang pindahan bank dan carta aliran yang dibuat penyiasat kerajaan yang menggambarkan pemahaman mereka terhadap laluan wang itu.

“Sumber asal wang itu tidak jelas dan siasatan kerajaan tidak memperincikan apa yang berlaku kepada wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib,” menurut laporan ditulis Tom Wright dan Simon Clark.

Kesimpulannya, kedua-dua wartawan WSJ itu berkata sumber wang itu tidak jelas dan siasatan kerajaan tidak memperincikan apa yang berlaku terhadap wang dalam akaun Najib.

Ini bermakna, siasatan SPRM pada dasarnya hanya membuang masa. Ia menyatakan perkara yang sudah jelas, bukan sesuatu yang kita tidak tahu.

Tetapi ia ada menyebut SPRM masih menyiasat bon RM4 bilion SRC International Sdn Bhd yang diperoleh daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) – tabung simpanan pencen kakitangan kerajaan.

Kenyataan itu menarik kerana laporan WSJ menyatakan RM50 juta daripada SRC masuk ke unitnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, yang kemudian menyerahkannya kepada unit tanggungjawab korporat dan sosial 1MDB, Ihsan Perdana Sdn Bhd, antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Ihsan Perdana kemudiannya mendepositkan RM42 juta ke dalam akaun Najib.

Tidak ada satu pun maklumat tambahan itu dicabar dalam kenyataan SPRM yang dikeluarkan semalam, yang menyatakan ia bertanggungjawab dalam siasatan SRC sementara polis bertanggungjawab dalam siasatan 1MDB.

Setakat ini, hanya SPRM yang menahan dan mereman beberapa individu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap wang yang masuk ke akaun Najib, sementara polis hanya menangkap mereka yang ada kaitan dengan siasatannya, iaitu siapa yang membocorkan butiran siasatan itu.

Tidak. Ia tidak kelakar.

Persoalan di mana sejumlah besar hutang RM42 bilion 1MDB masih belum dibongkar. Pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB ditangguhkan dan Tan Sri Abdul Gani Patail – ketua pasukan petugas khas menyiasat isu 1MDB – tersingkir daripada pejabatnya.

Kenyataan SRPM semalam hanya membangkitkan lebih banyak persoalan kini. Siapa penderma itu dan wang berkenaan digunakan untuk apa? Pernahkah wang itu diisytiharkan?

Mengapa Umno atau perdana menteri tidak menjelaskan perkara itu ketika WSJ melaporkannya pada Julai? SPRM mengambil masa sebulan untuk menyatakan perkara yang WSJ sudah pun cakap – duit itu datang dari satu tempat, tetapi tidak ada sesiapa tahu dari mana.

Pada ketika ini, apa yang kita tahu ialah, ada penderma yang begitu bermurah hati memberi RM2.6 bilion kepada Najib dan perdana menteri bermewah membelanjakan wang itu tetapi semua orang ‘berjimat cermat’ dengan kebenaran tentang keseluruhan saga ini.

Dan juga, pada ketika ini, kemerosotan kepercayaan kekal tinggi manakala nilai ringgit terus rendah. Kami perlukan jawapan kepada persoalan, bukan kenyataan yang sudah jelas.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .