» » Mahu penjelasan dari peguam negara mengapa siasatan pasukan khas skandal 1MDB dihentikan


Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa pasukan petugas khas baharu tidak menyiasat syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat yang berkaitan dengannya, soal DAP.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata penubuhan pasukan baharu itu menunjukkan Putrajaya cuba menghentikan siasatan skandal RM42 bilion melibatkan 1MDB.

"Walaupun jaminan palsu secara terang-terangan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Pauk Low, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak percaya penipuan 1MDB masih tidak dapat dilihat secara jelas.

"Rakyat berhak mengetahui mengapa siasatan ke atas 1MDB dan syarikat berkaitan yang dijalankan pasukan petugas khas dihentikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Putrajaya memberi nama baharu kepada sebuah pasukan petugas khasnya yang menyiasat jenayah berkaitan wang, tetapi ia tidak akan menyiasat syarikat sarat hutang 1MDB dan entiti berkaitannya.

Katanya, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) yang diumumkan baru-baru ini bukan satu pasukan petugas khas yang baharu ditubuhkan.

"NRRET adalah merupakan nama baharu kepada pasukan petugas khas yang ditubuhkan sejak 2011 untuk membantu kerajaan menangani beberapa isu.

"NRRET tidak pernah terlibat dengan mana-mana siasatan yang melibatkan 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Pua berkata disebabkan pasukan petugas khas tidak lagi menyiasat 1MDB, dalang yang mengakibatkan hutang berbilion ringgit itu tidak dapat dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, mereka yang terlebih bayar dalam pemilikan loji jana kuasa untuk sumbangan kewangan ke dalam syarikat persendirian perdana menteri, yang dianggap tanggungjawab korporat sosial juga tidak akan didakwa.

"Dalang di sebalik penggubahan wang haram AS$260 juta daripada dana 1MDB sebagai pelaburan asing ke Malaysia yang diperoleh UBG Bhd, syarikat bekas ketua menteri Sarawak tidak akan dipertanggungjawabkan.

"Eksekutif 1MDB yang memalsukan dokumen dan akaun ke Bank Negara, bank dan pihak berkuasa lain tidak akan dihukum melakukan jenayah," katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata kegagalan memberi penjelasan terhadap keputusan menghentikan siasatan 1MDB akan menjadikan peguam negara boneka perdana menteri yang juga menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Kerjasamanya dalam melindungi skandal kewangan terbesar negara menjadikannya peguam negara terburuk dan paling tidak bertanggungjawab dalam sejarah Malaysia," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .