» » Dr Mahathir mohon maaf atas pilihan penggantinya yang korup


Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama berkhidmat, selama 22 tahun, hari ini memohon maaf atas pilihan penggantinya, dengan mengatakan beliau juga tidak menyangkanya sama sekali.

"Manalah saya tahu waktu pilih, saya minta ampun, minta maaflah pada semua," katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa menjawab soalan hadirin pada syarahan awam di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak, hari ini.

Beliau ditanya sama ada mempertimbangkan potensi kepimpinan penggantinya sebelum menyerahkan jawatan itu.

Soalan ini ditanya Ibrahim Aziz, bekas broker saham, pada ceramah umum mengenai "Evolusi Sosial di Malaysia: Apa seterusnya?"

Semasa menjelaskan jawapannya, Dr Mahathir juga mengambil kesempatan mengkritik pengganti selepasnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak, tanpa menyebut nama.

"Kita hanya mampu meneka, apabila seseorang yang dikenali sebagai 'Mr Clean', kita pilih lah, tetapi apabila dia memasuki gelanggang, dia menjadi kotor.

"Jadi, saya cuba mencari pengganti yang lebih bersih. Siapa tahu, idea orang baru ini pula 'cash is king’ (duit ialah raja) dan jika anda memberi orang wang, mereka akan sukakan anda."

Dalam satu serangan yang agak berselindung terhadap Najib, Dr Mahathir berkata: "Tetapi dalam memberi wang kepada rakyat, kita mesti mempunyai wang. Jika tidak ada (wang), boleh jalankan perniagaan, tetapi tak bolehlah kalau kita sedang memegang jawatan (dalam kerajaan). Tetapi mencuri, boleh."

Kata-kata beliau disambut ketawa dan tepukan kira-kira 4,000 pelajar, pensyarah dan orang ramai yang menghadiri ceramah itu.

Seorang lagi peserta, Othman Razali, 62, meminta Dr Mahathir, yang juga canselor UTP, menjelaskan pandangannya mengenai langkah Najib memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Wakil dari sebuah kumpulan warga emas itu berkata, beliau juga ahli Umno dan tertanya-tanya jika pemecatan Muhyiddin adalah mengikut trend yang dimulakan Dr Mahathir, merujuk kepada bekas timbalan beliau - Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir, dalam membezakan dirinya daripada Najib berkata, pemecatan Muhyiddin terjadi semasa terdapat banyak kontroversi seperti hutang RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi perdana menteri.

"Sebagai timbalan, Muhyiddin terpaksa bertanya, tetapi kemudiannya... sebagai timbalan, anda perlu berhati-hati.

"Tetapi saya rasa ahli Umno lebih suka jika Muhyiddin kekal sebagai timbalan perdana menteri.

"Apa kesalahan yang dia buat? Dia tidak mencuri wang, dia tiada RM2.6 bilion," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .