Protes BERSIH 4 akan menyaksikan kehadiran orang ramai secara besar-besaran walaupun kempen menentang gerakan itu dilancarkan dari semasa ke semasa.
Bekas Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga berkata penentang protes itu masih menggunakan retorik sama untuk menghalalkan bantahan mereka.
"Tiada perubahan dalam retorik anti-BERSIH. Mereka menggunakan alasan antikerajaan, menjejaskan perniagaan, mencetukan kekacauan, selain gambar Maria (Abdullah) dicemari. Kumpulan itu kehabisan idea dan tak ada sesiapa lagi benar-benar mempedulikan mereka," katanya hari ini.
Kenyataan itu dibuat selepas sekumpulan aktivis penyokong perdana menteri mengadakan perhimpunan membantah BERSIH 4 di Kuala Lumpur hari ini.
Kumpulan itu diketuai Datuk Jamal Md Yunos yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar di Selangor.
Ambiga berkata, berdasarkan jualan ribuan helai baju T BERSIH setiap hari, mereka menjangkakan protes pada 29 dan 30 Ogos ini akan mendapat sambutan ramai.
Berkumpul kerana cinta negara
"Rakyat amat bosan terhadap pentadbiran tidak jujur di negara tercinta ini dan sudah sampai masanya untuk pemimpin menyedari mereka tidak dapat membodohkan rakyat dengan respon mengarut.
Ini adalah masa untuk mereka menyedari betapa rakyat menyayangi negara ini," katanya.
Pada masa sama, Ambiga juga berharap anggota keselamatan bersikap adil pada hari protes diadakan.
"Kepada polis dan penguat kuasa lain, silakan laksana tugas anda, tetapi biarlah adil.
"Kami adalah rakyat Malaysia, bukan musuh anda.
"Malah kami berjuang untuk masa depan anak anda juga. Tidakkah anda mahu demokrasi di negara ini kukuh dan kekayaan diagih secara saksama?
"Kami akan berhimpun pada 29 dan 30 Ogos ini. Ia adalah hak kami. Apabila anda melihat kami, ingatlah kita berada di sana kerana kita cintakan negara," katanya.
Ambiga juga mengajak pemimpin negara menyertai perhimpunan itu dan berjalan bersama rakyat.
"Anda mungkin tidak bersetuju dengan semua tuntutan BERSIH tetapi (kehadiran) anda akan menunjukkan anda tetap menghormati hak kami untuk berkumpul dan bersuara," katanya.
No comments: