» » Bersih 4 merupakan ‘pesta demokrasi’ TUNTUT Najib Razak LETAK JAWATAN


Perhimpunan Bersih 4 sejak tengah hari ini di Kuala Lumpur seperti satu "pesta demokrasi" yang menghimpunkan orang ramai daripada pelbagai latar belakang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Walaupun penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengajukan 4 tuntutan; pilihan raya bersih, kerajaan bersih, selamatkan ekonomi dan hak membantah, kebanyakan peserta dilihat memegang sepanduk menuntut Najib meletakkan jawatan.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang memberitahu The Malaysian Insider, perhimpunan Bersih 4 hari ini memberikan isyarat jelas Najib ditolak rakyat Malaysia.

"Walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan 'ugutan' sejak 2 hari lalu, ia masih tidak menghalang orang ramai untuk hadir," kata Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.

Semalam, KDN mengumumkan t-shirt kuning bertulis "Bersih 4" haram untuk digunakan.

Bagaimanapun, pemerhatian The Malaysian Insider di hampir setiap lokasi perhimpunan seperti Kompleks Sogo, Dataran Maybank, Brickfields dan Masjid Jamek menunjukkan hadirin tidak mempedulikan arahan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam ucapannya di Jalan Tun Perak petang ini berkata sekiranya Najib meletakkan jawatan sekarang, mereka akan menawarkannya jawatan sebagai duta Malaysia ke Mongolia.

"Tawaran nombor 2, disebabkan dia mendapat derma RM2.6 bilion untuk melawan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), maka kita tawarkan dia dan Datin Seri Rosmah Mansor untuk melawan Isis di Syria,"
kata ahli Parlimen Pandan itu disambut dengan sorakan hadirin yang membanjiri kawasan tersebut dengan berbaju kuning.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula berkata mereka berhimpun pada hari ini untuk menyelamatkan Malaysia daripada menuju kehancuran.

"Saya tabik dan bangga. Hari ini kekal selamanya dalam sejarah. Kita berjuang bukan untuk diri kita sendiri tetapi untuk anak-anak kita.

"Anak-anak kita mahukan kerajaan yang bersih. Negara bebas rasuah adalah negara impian kita," kata ketua menteri Pulau Pinang itu.

Buat julung kalinya, perhimpunan selama 34 jam dianjurkan di Kuala Lumpur dan ini merupakan pengalaman pertama bagi penganjur, pihak berkuasa, peserta dan petugas media.

Peserta yang hadir selain mendengar ucapan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang, kelihatan membanjiri kafe dan restoran sambil bersosial sesama mereka.

Masa perhimpunan masih lagi panjang. Masih belum pasti apa yang akan berlaku pada malam ini dan bagaimana orang ramai mahu bermalam di Kuala Lumpur malam ini.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .