Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) daripada pembangkang mempersoalkan pembatalan prosiding membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bulan ini.
Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar berkata urusan prosiding dan mesyuarat PAC seharusnya diputuskan jawatankuasa berkenaan.
"Tiap-tiap keputusan mesyuarat PAC mesti atas persetujuan PAC," katanya, pada sidang media di Parlimen, hari ini.
"Jika ada keputusan untuk PAC menunda, atau membatalkan semua prosiding perlulah daripada PAC," katanya.
Beliau berkata demikian susulan surat yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, yang memaklumkan prosiding PAC pada bulan ini, bermula 4 Ogos, 5 Ogos, 8 Ogos, 17 Ogos, dan 18 Ogos ditunda.
Dalam surat berkenaan, dinyatakan, kesemua prosiding itu akan ditunda sehingga kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
"PAC tidak pernah bermesyuarat untuk menunda mesyurat," katanya.
Turut hadir pada sidang media itu adalah anggota PAC pembangkang lain, seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giau, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini dilaporkan berkata prosiding terhadap 1MDB hanya boleh diteruskan dengan adanya pengerusi PAC yang baharu.
Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mempengerusikan jawatankuasa di bawah Parlimen itu dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri ketika rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada Selasa minggu lepas.
"Kita bantah keputusan oleh mana-mana pihak untuk tidak mengadakan mesyuarat PAC hari ini dan pada kita ini adalah satu kesalahan yang mengalahi peraturan mesyuarat Parlimen yang menyatakan bahawa kuasa PAC adalah jelas," katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, pihaknya inginkan penjelasan daripada setiausaha Dewan Rakyat siapa yang mengarahkan mesyuarat PAC ditangguhkan.
"Kami nak tahu siapa yang arahkan setiausaha PAC batalkan mesyuarat PAC.
"Kalaulah arahan tersebut datang daripada Speaker, kita nak tahu kenapa, mana klausa dalam peraturan mesyuarat, speaker ada kuasa batalkan mesyuarat PAC.
"Sekurang-kurangnya ada rasa hormat kepada PAC untuk panggil mesyuarat maklumkan pembatalan," katanya.
"Ini seolah-olah melihatkan PAC ini tiada apa-apa."
Prosiding hari ini dijadualkan untuk memanggil Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi memberi keterangan namun mereka tidak hadir kerana prosiding berkenaan ditangguhkan speaker Dewan Rakyat.
sumber
No comments: