» » Akar umbi UMNO mungkin akan sertai Bersih 4.0 kerana tidak tahan dengan kekorupan Najib Razak yang bermaharajalela


Menyertai Bersih 4 pada hujung bulan ini ialah salah satu cara ahli Umno menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemimpin tertinggi parti Datuk Seri Najib Razak, kata sebahagian ahli parti itu di peringkat akar umbi.

Menyuarakan bantahan secara senyap dengan turun ke jalan, akar umbi dan pemimpin Umno mungkin turut serta di Dataran Merdeka 29 dan 30 Ogos ini, seperti mana yang dijangkakan penganalisis politik Dr Maszlee Malik sebelum ini.

Menurut beberapa sumber di peringkat akar umbi, kehadiran penyokong Umno kalangan muda terutamanya, dijangka dapat disaksikan pada perhimpunan anjuran Bersih 2.0 itu yang selama ini dilihat didalangi pembangkang.

Misalnya, Ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub memberitahu The Malaysian Insider, ada ahli parti yang ingin turut serta dalam perhimpunan itu kerana sudah buntu cara untuk menyatakan protes terhadap Najib.

"Kalau ikut cakap kedai kopi, ada ahli Umno sendiri nak menyertai Bersih. Ini kerana, seolah-olah tidak ada lagi jalan lain untuk tunjukkan ketidakpuasan hati kepada Najib dan konconya," katanya.

Veteran Umno Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau tidak terkejut sekiranya ahli parti Melayu itu kini tidak lagi memusuhi pembangkang kerana perasaan kecewa mereka terhadap pemimpin Umno sendiri.

"Saya tidak hairan jika ahli Umno hilang benci kepada pembangkang jika pemimpin mereka tidak boleh diharap lagi," katanya yang pernah memegang jawatan sebagai menteri ketika pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada The Malaysian Insider.

Sanusi memberi contoh beberapa insiden yang berlaku sewaktu berlangsung acara parti seperti persidangan Umno bahagian baru-baru ini yang menunjukkan kemarahan peringkat akar umbi terhadap pemimpin.

"Bila Anina Saadudin dalam mesyuarat agung Umno di Langkawi menggunakan bahasa yang kesat terhadap pemimpin, bererti hormat kepada pemimpin sudah terhakis.

"Apabila perwakilan Umno di Johor menidakkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bererti sudah terhakis pengaruh 'wang sebagai raja'," katanya.

Meskipun begitu, Sanusi tidak menjangkakan pemimpin Umno akan terlibat dalam sebarang perhimpunan menentang kerajaan.

"Saya tidak percaya pemimpin Umno akan terlibat... kerana mereka sudah tengok apa yang jadi kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Shafie Afdal dan lain-lain.

"Siapa nak 'derma' kepada mereka kalau sudah hilang jawatan," sindir Sanusi yang menyifatkan pemimpin Umno tidak mahu tergugat daripada jawatan yang dimiliki, merujuk timbalan presiden dan naib presiden Umno itu yang digugurkan daripada Kabinet dipercayai kerana tidak sehaluan dengan Najib.

Sementara itu, bekas exco Puteri Umno Haziqah Nasirah Zol Bahari berkata, beliau masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menyertai Bersih 4 atau tidak.

Ini kerana, beliau tidak menolak amalan demokrasi di mana hak untuk berhimpun secara aman termaktub dalam perlembagaan.

"Saya hormati hak berhimpun, kerana ia amalan demokrasi. Kalau saya tidak turun sekalipun, saya hormat mereka yang pergi Bersih.

"Kerana kita tahu, Bersih menegaskan ia bertujuan menuntut pilihan raya bersih," katanya.

Namun berbeza bagi Anina, Wanita Umno Langkawi yang videonya menjadi viral menunjukkan beliau dengan suara lantang memarahi Najib yang dianggapnya menipu 3 juta ahli Umno.

Beliau berkata, pihaknya tidak memilih demonstrasi untuk menyatakan protes terhadap Najib.

"Saya tidak akan turun Bersih, kerana ia bukan cara saya. Itu perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan, saya bukan mahu gulingkan kerajaan," kata Anina dengan tegas.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee juga menafikan dakwaan penganalisis yang menjangkakan ahli dan pemimpin Umno akan menyertai Bersih 4 yang dirancang diadakan selama 34 jam itu.

"Pada hemat saya, itu hanya provokasi pembangkang untuk pengaruh rakyat supaya sokong Bersih 4. Saya yakin tidak ada pemimpin Umno akan terlibat untuk berikan sokongan moral kepada pembangkang dan penganjur," katanya.

Syed Ali berkata, pemimpin Umno cukup matang mengharungi krisis politik dan demonstrasi jalanan bukan budaya mereka.

"Kalau ada protes kepada perdana menteri dan presiden, ia dibuat ikut saluran betul. Saya dan pemimpin Umno sesekali tidak akan terjebak dengan mainan politik gila Bersih," katanya kepada The Malaysian Insider.

Maszlee sebelum ini menjangkakan perhimpunan Bersih 4 yang dijadualkan diadakan bukan saja di Kuala Lumpur, malah di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah bakal membawa kelainan apabila ia dijangka akan turut disertai pimpinan dan penyokong Umno.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian susulan tindakan penganjurnya menjemput Datuk Nur Jazlan Mohamed menyertainya, selepas timbalan menteri dalam negeri itu mengatakan tidak ada masalah dengan perhimpunan itu.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .