Bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyerahkan bukti berhubung skandal 1MDB kepada peguam negara Switzerland dua hari lalu.
Dalam kenyataan dalam Facebooknya hari ini, Khairuddin berkata beliau menyerahkan bukti dan kronologi skandal itu kelmarin jam 2.30 petang waktu tempatan.
"Kunjangan saya ke pejabat peguam negara Switzerland di Bern telah ditemani oleh peguam saya, Matthias Chang," katanya.
Katanya, beliau menyerahkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang negara itu untuk membuat siasatan komprehensif terhadap semua dakwaan salahlaku firma itu yang membabitkan bank di negara itu serta beberapa bank antarabangsa.
Chang adalah bekas pembantu mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, agensi berita Reuters turut melaporkan semalam, jurucakap pengawal selia kewangan Switzerland Finma sedang memeriksa beberapa bank negara itu sama ada mereka mempunyai urusan perniagaan dengan 1MDB.
Siasatan Bank Negara Malaysia berkaitan 1MDB, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sudah diselesaikan awal bulan ini.
Syarikat itu sedang bergelut sekitar kontroversi sekitar hutang besar lebih RM40 bilion itu.
Dalam kenyataan itu juga, Khairuddin berkata kes skandal 1MDB itu mesti dilawan habis-habisan demi menyelamatkan dana wang rakyat daripada sebarang unsur penyelewangan.
"Saya bersama peguam iaitu Matthias Chang berikrar untuk menangani kes skandal 1MDB serta menyerahkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang dan kewangan antarabangsa bagi membantu menyiasat penyelewengan ini secara telus, adil, saksama serta komprehensif," katanya.
"Saya amat kecewa dengan pihak penguatkuasaan undang-undang dan kewangan di negara kita yang nampak secara ketara tidak menyiasat kes ini secara professional dan telus," katanya.
No comments: