» » 5 petunjuk buktikan ekonomi Malaysia masih kukuh


Ekonomi Malaysia yang masih berkembang pada masa berlaku ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi serantau dan global merupakan antara petunjuk utama ekonomi negara masih berada di atas jajaran kukuh serta landasan yang betul, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata ia adalah antara 5 petunjuk utama ekonomi negara yang menyokong hakikat itu.

Sebagai contoh, katanya, pada tahun lepas ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 6% dan tahun ini ia dijangka mencapai 5%.

"Tidak seperti pada tahun 1998, ketika berlakunya krisis kegawatan ekonomi Asia, di mana ekonomi kita menguncup sebanyak negatif 7%," katanya dalam Amanat Hari Kebangsaan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, malam tadi.

Perdana menteri berkata petunjuk kedua ialah fundamental atau asas ekonomi negara pada hari ini lebih kukuh lagi kerana Malaysia mempelajari daripada kesan krisis 1998 itu.

"Antara contohnya seperti defisit fiskal kerajaan yang dapat dikurangkan daripada negatif 6.7% pada 2009, kepada 3.2% pada tahun ini.

"Seterusnya, sistem perbankan dan kewangan yang kekal mempunyai modal kukuh dan kecairan yang mencukupi. Kadar pinjaman tidak berbayar dan inflasi yang rendah serta terkawal," katanya di hadapan hampir 3,000 jemputan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat di Dewan Plenary, KLCC itu.

Amanat Hari Kebangsaan 2015 oleh perdana menteri disiarkan secara langsung ke seluruh negara oleh stesen RTM saluran TV1. Acara Amanat Hari Kebangsaan oleh perdana menteri yang berlangsung bagi tahun kedua dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Bernama.

Dalam ucapan selama kira-kira 40 minit itu, Najib berkata petunjuk ke-3 ialah kejayaan dasar-dasar negara khususnya melalui Dasar Transformasi Nasional yang membawa kepada penurunan kadar kemiskinan, daripada 49.3% pada 1970 kepada hanya 0.6% pada 2014.

"Keluaran Dalam Negara Kasar pula meningkat sebanyak 47.7% dari 2009 hingga 2014, manakala sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan diwujudkan sejak pelancaran Program Transformasi Ekonomi pada 2010," katanya.

Petunjuk ke-4 ialah Malaysia masih kekal diiktiraf di mata dunia kerana masih mampu mengawal pengurusan ekonomi dengan begitu baik sekalipun negara terus dihadapkan dengan sekian banyak cabaran dan peringkat global.

"Ini terbukti melalui penarafan dan laporan daripada agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody's, Standard & Poor's dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memberikan gambaran sebenar tentang keadaan serta pengurusan ekonomi semasa.

Rakyat, kata perdana menteri, hendaklah faham segala kajian dan dapatan terhadap pencapaian Malaysia, bukanlah direka-reka dan penaraf antarabangsa yang memberi penarafan itu adalah pengabsah yang berwibawa tinggi dan tidak boleh dipertikaikan kerana hasil kajian serta pandangan mereka diterima pakai di seluruh dunia.

Najib berkata Malaysia juga berjaya menduduki tangga ke-12 daripada 60 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2014.

"Namun saya sedar timbul keresahan akibat kejatuhan nilai matawang. Harus disedari ini merupakan fenomena global dan hampir kesemua negara tidak terkecuali daripada menerima kesan kejatuhan mendadak harga minyak dan komoditi, penguncupan ekonomi dunia, termasuk negara China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia," katanya.

Ke arah itu, Najib berkata beliau menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi dianggotai 10 pakar ekonomi dan tokoh korporat yang akan bertindak segera menimbang segala perancangan dan tindakan bersifat serta-merta sehingga kemelut ekonomi menjadi reda.

"Apa yang penting...saya beri jaminan kerajaan tidak akan hilang fokus, malah akan terus membela untung nasib dan mendahulukan kepentingan, juga kesejahteraan rakyat," katanya.

Perdana menteri berkata bagi petunjuk ke-5, banyak usaha dan ikhtiar dilaksanakan kerajaan seperti penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia dan sebagainya yang berjaya membantu meringankan beban sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Jelas terbukti Malaysia bukan negara yang gagal, seperti yang didakwa, bukannya nak bankrap, malah kita pada hakikat sebenarnya masih berada dalam keadaan yang stabil, dengan fundamental yang kukuh dan akan terus mampu bertahan serta berdaya saing," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan menteri-menteri Kabinet.

Najib berkata beliau mahu membetulkan keadaan dan beberapa salah faham serta menerangkan dan menjelaskan isu-isu berbangkit supaya rakyat dapat mendengar terus daripadanya, sebagai pemimpin, agar lebih rasional, faham dan tenang.

"Kita boleh bahagikan maklumat dan sumber yang kita peroleh kepada 2. Pertama, berasaskan kepada fakta-fakta yang benar dan bersifat realiti atau sahih lagi boleh dipercayai. Keduanya pula, adalah maklumat dan sumbernya yang didapati atas dasar dengar-dengar khabar sahaja, persepsi dan tekaan serta bersifat propaganda semata-mata," katanya.

Beliau berkata sewaktu kegawatan ekonomi 1998, kerajaan yang mentadbir ketika itu berjaya menerangkan kepada rakyat, dengan memperbetulkan persepsi keadaan ekonomi pada waktu itu adalah di luar kawalan kerajaan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .