Akhbar perniagaan mingguan dan harian The Edge dan The Edge Financial Daily digantung bermula Isnin depan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata penerbit hari ini.
Penerbit berkata, menerusi surat yang dikirimkan, KDN menyatakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaporkan 2 akhbar itu memudaratkan dan boleh membawa gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman awam atau memberi ancaman kepada keselamatan negara.
"Gagal menghentikan penerbitan selama 3 bulan akan menyebabkan pembatalan permit penerbitan," kata KDN dalam surat tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit Kumpulan Media The Edge Ho Kay Tat melahirkan kekecewaannya berhubung keputusan KDN menggantung penerbitan 2 akhbar itu.
Katanya, The Edge akan mencabar keputusan KDN di mahkamah bagi membatalkan arahan penggantungan tersebut.
"Kami tidak nampak bagaimana mendedahkan penipuan yang membohongi rakyat Malaysia berbilion ringgit dianggap mengancam keselamatan awam dan negara.
"Ini tidak lain hanya satu usaha untuk menghentikan kami supaya berhenti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ho berkata pembaca dan warga Malaysia boleh terus membaca laporan seperti itu melalui platform digital di laman sesawang seperti theedgemarkets.com, theedgeproperty.com, themalaysianinsider.com dan edgy.com.
"Kepada pengiklan kami, kami berharap anda meneruskan sokongan kepada kami melalui platform digital ekoran edisi bercetak digantung 3 bulan," katanya.
sumber
No comments: