» » 'Tak logik pendedahan skandal 1MDB oleh The Edge ancam keselamatan Malaysia'


Pemuda PKR menyeru Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik penggantungan terhadap akhbar harian dan mingguan The Edge Financial Daily dan The Edge kerana melanggar prinsip kebebasan media.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Putrajaya seharusnya menjawab segala tuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya menggantung penerbitan 2 akhbar itu yang mengundang rasa tidak puas hati rakyat.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) haruslah menjelaskan mengapa laporan The Edge berkenaan 1MDB adalah 'memudaratkan dan boleh membawa gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman awam atau memberi ancaman kepada keselamatan negara'.

"Kerajaan BN sepatutnya menjawab segala persoalan yang diajukan dengan lengkap dan jelas, bukannya mencari jalan keluar yang mudah dengan menggantung penerbitan akhbar tersebut.

"Kerajaan haruslah menarik balik penggantungan ini dan memberikan penjelasan yang diinginkan oleh rakyat berkenaan pelbagai isu kritikal yang dibangkitkan kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KDN memaklumkan 2 akhbar perniagaan itu akan digantung 3 bulan bermula Isnin ini kerana menyiarkan artikel 1MDB yang memudaratkan dan boleh mengganggu ketenteraman awam dan negara.

"Gagal menghentikan penerbitan selama 3 bulan akan menyebabkan pembatalan permit penerbitan," kata KDN dalam surat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Penerbit Kumpulan Media The Edge Ho Kay Tat melahirkan kekecewaannya berhubung keputusan KDN menggantung penerbitan 2 akhbar itu.

Katanya, The Edge akan mencabar keputusan KDN di mahkamah bagi membatalkan arahan penggantungan tersebut.

"Kami tidak nampak bagaimana mendedahkan penipuan yang membohongi rakyat Malaysia berbilion ringgit dianggap mengancam keselamatan awam dan negara.

"Ini tidak lain hanya satu usaha untuk menghentikan kami supaya berhenti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Centre for Independent Journalism (CIJ) turut mengutuk KDN atas penggantungan 2 akhbar itu kerana ia jelas menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Pengarahnya, Sonia Randhawa and Jac Kee berkata tidak memadai bagi KDN mendakwa The Edge mengundang ancaman kepada keselamatan awam dan negara sebaliknya kementerian itu perlu menunjukkan bagaimana laporan The Edge boleh mengundang situasi berkenaan.

"Berbeza dengan dakwaan KDN, The Edge nampaknya bertindak demi kepentingan rakyat dan negara dengan membawa pendedahan itu kepada umum.

"Tindakan kerajaan yang menuding jari kepada The Edge dalam isu ini hanya membawa kepada lebih banyak soal pengurusan 1MDB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah CIJ itu berkata bertindak keras terhadap kritikan dengan pengadilan yang kabur akan mengundang kesan sebaliknya.

Katanya, KDN perlu menarik balik penggantungan itu dan menghormati kebebasan media dan kebebasan melontarkan pandangan.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .