» » 'Sukar untuk Najib Razak harungi skandal 1MDB dan melepasinya'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mendapati dirinya sukar mengharungi skandal terbaru yang melibatkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak kiralah terbukti atau tidak AS$700 juta (RM 2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun peribadinya, kata majalah perniagaan Forbes.

Menurut artikel bertajuk "Can Najib Razak Survive 1MDB Scandal?" (Bolehkah Najib Razak harungi skandal 1MDB?), walaupun jika tuduhan tersebut dibuktikan palsu, ia timbul pada masa yang sukar bagi Najib.

Ini kerana faktor-faktor lain, seperti perbalahan dalaman Umno sementara ia cuba menerima realiti tidak lagi mempunyai 'hak automatik' memenangi setiap pilihan raya, menyebabkan parti itu tidak pasti jika Najib pemimpin dimahukan parti tunggak kerajaan itu dalam suasana politik lebih kompetitif.

Kolumnis Forbes juga mengatakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan beliau menerima dokumen mengaitkan Najib dengan 1MDB dan dilaporkan berkata terdapat potensi bagi perkara itu membawa kepada dakwaan jenayah sekiranya tuduhan tersebut benar.

"Najib Razak, perdana menteri Malaysia sejak 2009, berdepan cabaran terbesar dalam kepimpinannya – termasuk risiko dakwaan jenayah," kata artikel tersebut.

"Malaysia merupakan tempat di mana reputasi amat bermakna dan publisiti yang tidak baik akan kekal.

"Walaupun Peguam Negara tidak merasakan terdapat bukti mencukupi untuk mendakwa, wujud perasaan yang Najib kini dilemahkan juga," kata kolumnis kewangan Forbes, Chris Wright.

Selain daripada skandal 1MDB, Najib juga dilemahkan dengan serangan daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menentangnya dan menggesanya meletak jawatan susulan cara beliau mengendalikan firma pelaburan strategik tersebut, kata Forbes.

Semua ini berlaku di Malaysia pada masa di mana pengeksport komoditi sedang bergelut dengan harga yang semakin jatuh, kata artikel tersebut.

Najib yang juga menteri kewangan, ialah pengerusi kepada lembaga penasihat 1MDB. Beliau sudah lama dikritik kerana hutang RM42 bilion dan urus niaga yang tidak telus, namun dakwaan terbaru ini menyentuh unsur peribadi kerana wang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadinya pada 2013, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei tahun itu.

Khamis lepas, Wall Street Journal dan laman berpangkalan di UK, Sarawak Report membuat pendedahan yang sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) didakwa disalurkan ke dalam dua akaun bank di bawah nama Najib dengan AmBank pada 2013.

Perdana menteri itu, bagaimanapun, menafikan mengambil wang dari 1MDB bagi kegunaan peribadi dan meletakkan kesalahan kepada laporan terkini tentang Dr Mahathir yang juga didakwanya sedang bekerja untuk agen asing terhadap pentadbirannya.

Bagaimanapun, pemimpin pembangkang menyerang Najib kerana membuat "penafian yang kabur" sementara WSJ mempertahankan pendedahannya, mengatakan laporan tersebut berdasarkan bukti dokumen yang kukuh.

Tuduhan itu dibuat susulan dakwaan lebih awal, yang juga dilaporkan WSJ, mengatakan 1MDB secara tidak langsung menbiayai kempen pilihan raya Najib pada 2013 melalui pembelian aset yang terlebih mahal dari Genting Group.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .