Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mengatakan penyiasat mengesan hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) dikreditkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akhbar perniagaan harian itu berkata dalam laporan terkini mengenai isu itu.
Hanya beberapa jam selepas membuat pendedahan tersebut hari ini, WSJ menerima jawapan itu dari SPRM, mengatakan ia akan meneliti perkara itu.
Seorang jurucakap SPRM yang dikenali sebagai Rohaizad Yaakob dipetik berkata: "Kami akan meneliti perkara itu. Kalau ada sebarang unsur rasuah, kami akan siasat."
Mengulas laporan WSJ itu, Pejabat Perdana Menteri menyifatkannya sebagai kerja "individu tertentu" bertujuan melemahkan keyakinan dalam ekonomi, memburukkan kerajaan dan menjatuhkan seorang perdana menteri yang dipilih secara demokratik.
Pejabat Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan, media tempatan tidak seharusnya menerima sebarang dokumen sebagai tulen melainkan jika disahkan pihak berkuasa yang berkenaan selepas portal berita Malaysia memetik pendedahan WSJ itu, berserta laporan laman web pemberi maklumat Sarawak Report.
Sementara itu, pemimpin pembangkang hari ini menggesa Perdana Menteri menjawab dakwaan tersebut.
Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Najib perlu meletak jawatan jika tidak dapat memberikan penjelasan berhubung dakwaan WSJ yang berbilion ringgit disalurkan kepada akaun bank peribadinya.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Najib dan isterinya melakukan pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan mereka untuk membersihkan nama, mengatakan penafian melalui kenyataannya sendiri, 1MDB, polis mahupun Putrajaya kini tidak mencukupi untuk menghalang persepsi negatif daripada terus merebak terhadap imej Najib dan Malaysia.
Menteri Umno, sementara itu, berdiri teguh di belakang Najib susulan pendedahan WSJ itu.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan melalui akaun Twitter @mpkotabelud, menyelar WSJ, mengatakan beliau terkejut dengan dakwaan yang hanya menggunakan "penyiasat yang tidak bernama" sebagai sumber maklumat.
"Saya terkejut dengan dakwaan melampaui batas WSJ itu. Jika mereka benar-benar serius mengenai kesahihan, laporan itu sepatutnya menamakan sumber," tulisnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek menasihati orang awam supaya jangan mudah percaya kepada sesuatu perkara yang belum dipastikan kesahihannya.
Menyifatkan perkara itu masih belum ada kepastian, Hasan enggan mengulas lanjut, mengatakan ia perlu dirujuk kepada Kementerian Kewangan.
1MDB ketika ini menjadi subjek inkuiri beberapa pihak berkuasa, termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
sumber
No comments: