» » Sajak ditulis Dr Mahathir 'Malaysia tanah air ku'


Negara-ku Malaysia, tanah air-ku, tanah di mana 90 tahun dahulu
Darah tumpah dan aku dilahir

Dilahir sebagai anak bangsa yang dijajah
Aku membesar mempertuankan orang asing

Terhina dan dihina
Bangsa yang serba kekurangan

Tinggal di pondok berbumbung atap nipah
Berdinding, berlantai kayu

Namun aku lebih bahagia dari ramai bangsaku
Mereka tinggal di pondok robek, tiris apabila hujan

Tanpa pili air tanpa lampu letrik
Anak mereka berkaki ayam, berkudis

Demam panas dan kadang-kadang meninggal
Aku survive, aku ke sekolah, aku ke universiti

Nasib aku lebih baik
Allah subhanahu wataala kesian kepada aku

Setelah dijajah satu bangsa, dijajah pula dua bangsa lagi
Aku bertanya akan bangsaku selalunya dijajah orangkah?

Alhamdullilah, berkat kesedaran, berkat perjuangan, berkat perpaduan
Bangsaku dibebas, merdeka

Apakah merdeka hanya bermakna tidak dijajah orang
Apakah merdeka bermakna terus merana

Tidak, tidak, tidak
Merdeka bermakna kemajuan

Kemajuan sehingga berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah dengan bekas penjajah dan bangsa lain

Bahkan mungkin lebih tinggi
Politik yang menyelamat dahulu

Terus membela bangsa
Negara dibangun, bangsa dibangun, agama dimuliakan

Kemudian…
Malang dan sedih,

Bangsa yang berjiwa kental, bersemangat besi
Diserang nafsu dan perasaan tamak

Aku dapat apa dari kemerdekaan tanya mereka?
Mana bahagian aku?

Dan semangat pun menjadi luntur, tidak terdaya mengawal nafsu
Apa makna senang jika untuk mendapat sesuatu begitu susah

Dan nafsu dan perasaan tamak pun diperalat dan disogok orang-orang politik dan orang kaya
Bangsa yang merdeka

Bangsa yang mulia
Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit

Hak memilih, hak mengundi
Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit

Maruah dijual
Bangsa dijual

Tanahair dijual
Segalanya dijual

Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja
Politik yang menyelamat

Menjadi politik yang menghancur
Pemimpin semakin tamak

Untuk tempat dan kedudukan tinggi
Perbuatan yang haram dihalalkan

Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia
Akan kembalikah bangsaku

Menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhambakan
Wahai bangsaku

Begitu mudahkah kamu lupa
Aku akan pergi tidak lama lagi

Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir
Kerana bangsaku

Negaraku
Masih mulia

Masih bermaruah
Masih dipandang tinggi

Atau mataku terbeliak
Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu

Ya Allah lindungilah bangsaku
Sedarkanlah mereka

Sedarkan mereka, Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa
Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya

Mengubah sendiri, membendung nafsu
Kerana Allah

Kerana agama
Kerana bangsa

Kerana negara
Biarlah aku pergi

Mata terpejam rapat
Nafas perlahan berhenti.



sumber




About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .