Pasar uptown sekitar Lembah Kelang yang dibuka lewat malam menjadi pilihan orang ramai membeli-belah kelengkapan persediaan menyambut Hari Raya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga bahan api nyata memberikan impak kepada rakyat, khususnya umat Islam, yang bakal menyambut perayaan setahun sekali itu tidak lama lagi.
The Malaysian Insider meninjau dua lokasi uptown yang terkenal sekitar ibu kota, di Uptown Danau Kota, Setapak dan Downtown Cheras berhampiran dengan Stadium Basikal Veledrom, Bandar Tun Razak.
Rata-rata pengunjung pasar larut malam ini majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu pelbagai lapisan umur.
"Saya memang selalu ke pasar lewat malam ini, lagipun barang-barang di sini murah dan berpatutan jika dibanding dengan pusat beli-belah yang besar," kata Rozana Rahman, 31, yang ditemui di uptown Danau Kota.
Rozana ditemani sepupunya mencari kerongsang untuk dipadankan dengan baju kurung dan tudung yang hendak dipakai semasa Aidilfitri nanti.
Sepanjang bulan Ramadan, peniaga uptown menjalankan operasi selama 7 hari seminggu dan memulakan perniagaan pada jam 9 malam hingga 4 pagi keesokan harinya.
Seorang lagi pengunjung, Eddy Ridzwan, 27, berkata beliau memilih membeli-belah di uptown kerana mudah membuat tawar-menawar untuk barang yang hendak dibeli.
"Di sini kita boleh tawar-menawar, kadang-kadang boleh dapat harga yang sangat murah," katanya yang sedang mencari kasut untuk Hari Raya.
Eddy, kakitangan sektor swasta dengan pendapatan RM2,500 sebulan berkata, beliau banyak berjimat cermat dalam membuat persiapan menyambut hari lebaran tahun ini.
Beliau juga turut merasai kos sara hidup naik mendadak tahun ini walaupun masih belum berumahtangga.
"Tahun ini GST diperkenalkan, hampir semua barang naik. Apa sahaja yang tidak naik?
"Memanglah saya bujang, tiada komitmen lain. Tetapi Hari Raya bila balik kampung pasti terpaksa hulur duit raya kepada anak buah kan?" kata Eddy yang berasal dari Perak.
Berbeza dengan pusat beli belah besar yang lain, peniaga di pasar uptown tidak mengenakan sebarang GST kepada pelanggan, malah barang yang dibeli tidak diberikan resit.
Pengguna membeli barang seperti di pasar borong, dan sekiranya ada masalah dengan barangan yang dibeli, mereka boleh menukarnya dalam tempoh waktu yang ditetapkan.
Pelbagai barangan boleh didapati dijual di pasar uptown, daripada pakaian hingga kuih-muih untuk Hari Raya.
Dalam pada itu, pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid yang dihubungi The Malaysian Insider menyifatkan fenomena orang ramai memilih pasar lewat malam untuk membeli belah adalah disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi ketika ini.
Menurut pengarang buku "The Colour of Inequality" itu, pendapatan pekerja kelas pertengahan meningkat dengan perlahan berbanding dengan kenaikan kos sara hidup yang meningkat saban tahun.
"Kos sara hidup meningkat tetapi pendapatan tidak.
"Pendapatan median kelas pertengahan daripada tahun 2013 hingga 2014 hanya naik sebanyak RM175 setahun. Jika dibahagikan kepada 12 bulan, bermakna pendapatan naik sekitar RM14 lebih sahaja," kata Muhammed.
Menurutnya, pendapatan median pekerja adalah RM1,500 sebulan pada 2013 dan hanya naik RM175 pada 2014.
"Pekerja tidak dapat menampung kenaikan kos sara hidup," katanya.
No comments: