» » Polis Singapura bekukan dua akaun dalam penyiasatan skandal 1MDB


Polis Singapura kini memulakan siasatan kes pengubahan wang haram terhadap 2 akaun bank dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), akhbar perniagaan republik itu, The Business Times (BT) melaporkan hari ini.

Katanya, 2 akaun itu dibekukan pada 15 Julai, seminggu selepas bank pusat Singapura mengakui ada berhubung dengan institusi kewangan yang dikaitkan dengan siasatan Malaysia terhadap dakwaan berbilion ringgit daripada syarikat berkaitan 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Pada 8 Julai lalu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata ia akan membantu Malaysia dan berkongsi maklumat berdasarkan undang-undang sedia ada.

BT berkata, siasatan terhadap kemungkinan wujud kesalahan pengubahan wang haram terletak di bawah akta rasuah dan kanun keseksaan "untuk melarang sebarang urusan berkenaan dengan wang dalam 2 akaun bank yang berkaitan dengan penyiasatan itu".

Pada 2 Julai, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan penyiasat syarikat sarat hutang 1MDB mengesan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan dari akaun bank swasta di Singapura ke dalam akaun di Malaysia dipercayai milik perdana menteri.

Pada 9 Julai, pasukan petugas yang menyiasat dakwaan yang dibuat WSJ berkata, dua akaun bank milik Najib di AmBank ditutup sebelum pendedahan itu diterbitkan.

WSJ melaporkan, AS$681 juta (RM2.67 billion) dari Tanore Finance, sebuah syarikat di British Virgin Islands, didepositkan ke dalam akaun Najib dalam 2 transaksi pada 21 dan 25 Mac, 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun itu.

Salah satu akaun ditutup pada 30 Ogos, 2013.

Satu lagi bayaran, sejumlah AS$11.1 juta, dari syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd, dipindahkan dalam 2 bahagian antara Disember 2014 dan Februari tahun ini.

Akaun kedua itu ditutup pada 9 Mac tahun ini.

Enam akaun dibekukan berkaitan penyiasatan itu.

Tiga daripada akaun yang dibekukan itu milik Najib, satu lagi milik SRC International dan satu lagi milik Ihsan Perdana, sebuah syarikat tempatan yang terlibat dalam aliran wang RM42 juta itu.

Melaporkan berita pembekuan itu, WSJ berkata, akaun yang dibekukan itu berbeza daripada akaun yang ia laporkan sebelumnya.

WSJ juga memuat naik dokumen yang digunakan dalam laporannya, menunjukkan arahan pindahan telegraf dan carta jejak aliran wang.

Najib menafikan mengambil wang untuk kepentingan peribadi, tetapi tidak mengulas secara langsung mengenai pemindahan dana ke akaun beliau itu.

Bank Negara dan AmBank juga tidak memberi maklum balas mengenai dakwaan tersebut.

1MDB, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan Najib, berdepan kritikan berhubung hutang hampir RM42 bilion dan dakwaan salah urus kewangan.

Awal tahun ini, MAS berkata ia berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia selepas Putrajaya berkata 1MDB sudah menebus AS$1.1 bilion daripada Kepulauan Cayman dan meletakkannya dalam unit Singapura bank swasta Swiss BSI.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .