» » Penggantungan The Edge sahkan sangkaan wujud rasuah skala besar dalam skandal 1MDB


Keengganan Putrajaya menjawab tuduhan yang dibuat terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hanya mengesahkan syak wasangka rakyat mengenai wujudnya rasuah pada skala besar, kata Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) mengutuk penggantungan The Edge dan The Edge Financial Daily oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Presiden Hakam Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, penggantungan 3 bulan bagi kedua-dua penerbitan itu satu percubaan terang-terangan menutup wacana awam yang amat diperlukan berhubung satu isu penting – berbilion ringgit wang pembayar cukai sedang disalurkan keluar.

Beliau menegaskan, laman web Sarawak Report juga disekat kerana sebab yang sama, dan berkata kerajaan tidak boleh dibiarkan berselindung di bawah kewajaran "ketenteraman awam", yang menurutnya "jelas tidak terpakai" dalam kes ini.

"Kerajaan seharusnya menggalakkan pemberi maklumat dan bekerjasama membongkar kebenaran, bukan menutup mulut mereka.

"Apabila kerajaan melakukan sebaliknya dalam menghadapi skandal rasuah, kerajaan sendiri yang sebenarnya menjejaskan 'kepentingan awam dan negara'," kata Ambiga dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenang kembali Operasi Lalang yang berlaku pada akhir 80-an, ketika akhbar terkemuka seperti The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan ditutup kerana menjalankan tugas mereka, Ambiga berkata ia tidak boleh dibenarkan berlaku lagi.

Beliau juga memberi amaran jika kerajaan dibenarkan menjalankan menyalahgunakan kuasanya, tidak lama lagi mereka juga akan menyerang pengguna individu laman sosial Facebook dan Twitter.

Aktivis hak asasi manusia yang juga bekas presiden Majlis Peguam dan pernah memenangi anugerah itu berkata, hak kebebasan bersuara penting kepada demokrasi negara, di mana maklumat dan idea diperlukan untuk perdebatan politik yang bermaklumat dan penting untuk akauntabiliti awam dan ketelusan dalam kerajaan.

"Hakisan berterusan kebebasan asasi ini mesti dihentikan.

"Sekarang, lebih daripada sebelumnya, kebebasan bersuara terutamanya kebebasan akhbar, untuk melahirkan wacana awam mengenai dakwaan skandal besar yang mengancam fabrik asas negara kita mesti dijaga, dipelihara dan ya, digalakkan," katanya, sambil menambah ia perlu bagi kemajuan ekonomi dan sosial.

Presiden Majlis Peguam Steven Thiru, juga bersetuju dengan pandangan Ambiga, mengatakan arahan penggantungan itu "menimbulkan kepercayaan munasabah yang dakwaan dibuat The Edge mempunyai merit dan tidak boleh disangkal".

Thiru menyifatkannya sebagai "cubaan terang-terangan dan jahat" untuk mendiamkan kritikan mengenai perkara yang mempunyai kepentingan awam, dan berkata pihak berkuasa sepatutnya menyiasat dakwaan tersebut, bukannya menghukum pembawa maklumat.

"Ini amat dikesali kerana ia menunjukkan pihak terlibat tidak mampu atau tidak mahu bertindak balas terhadap kebimbangan atau kritikan yang diluahkan," katanya, sambil menambah ia menunjukkan kecondongan Malaysia ke arah sebuah negara autoritarian.

KDN menggantung permit penerbitan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily untuk tempoh 3 bulan bermula 27 Julai ini.

Ia menjelaskan 3 sebab penggantungan itu iaitu, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitan itu menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap 1MDB, yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Kedua, laporan yang diterbitkan bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Dan yang ketiga, isu berkaitan 1MDB sedang disiasat, oleh itu, pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan adalah tidak wajar, dan tidak adil kepada syarikat 1MDB, kerajaan dan kepimpinan negara.

Awal bulan ini, The Edge menerima surat tunjuk sebab di mana kementerian memberinya tujuh hari menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

1MDB amat sensitif bagi kerajaan, memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan pengerusi lembaga penasihatnya dan juga mengetuai Kementerian Kewangan, yang memiliki 1MDB.

Beliau juga dikaitkan dengan dakwaan yang wang daripada entiti berkaitan 1MDB disalurkan ke akaun bank peribadinya.

Beliau tidak mengulas dakwaan tersebut secara langsung tetapi hanya menafikan mengambil dana untuk "kepentingan peribadi".

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .