Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua individu berkenaan sepatutnya hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, namun terpaksa dibatalkan berikutan kematian ibu kepada Tong, semalam.
"Tong meminta Bukit Aman menangguhkannya berikutan kematian ibunya," katanya kepada pemberita selepas Wawancara Khas Ketua Polis Negara bersama media cetak sempena Hari Pahlawan, di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.
Pada 22 Julai lepas, Ho dipanggil polis untuk disoal siasat berkaitan artikel mengenai 1MDB yang disiarkan The Edge Financial Daily.
Sehari sebelum itu, The Edge menyerahkan dokumen, emel bercetak dan cakera keras yang dimilikinya mengenai 1MDB kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Pada 20 Julai lepas, The Edge Financial Daily menerbitkan artikel 4 halaman yang memfokuskan usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International.
1MDB dalam satu kenyataan pada 21 Julai, menyelar akhbar itu dengan menyatakan dakwaan dalam laporan itu "sudah lapuk, tidak berasas dan dikitar semula”.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung laporan media sebelum ini mengenai polis Thailand menolak pihaknya untuk berjumpa dengan bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo berkaitan kes 1MDB, Khalid menjelaskan siasatan polis Thailand masih belum selesai.
"Mereka (Thailand) bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan kita selepas selesai siasatan dan selepas Justo dituduh di mahkamah.
"Sama juga kita (Malaysia) pun, kalau siasatan belum selesai, kita tidak akan membenarkan sesiapa berjumpa dengan tahanan itu," katanya.
Justo ditahan pihak berkuasa Thailand pada 22 Jun lalu atas tuduhan cuba memeras ugut bekas majikannya sehingga 2.5 juta Swiss Franc (RM10 juta) dan mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat jika tuntutannya tidak dipenuhi.
Khalid berkata pihaknya diberi taklimat penuh oleh rakan sejawatnya, Jen Somyot Poopanmoung di Thailand tentang siasatan mereka terhadap Justo.
"Minggu lepas saya pergi ke Thailand, kami ada persetujuan melalui Aseanpol yang melibatkan polis kepada polis.
"Kami dimaklumkan dan benar-benar tahu apa yang disebut Justo dalam pengakuannya itu...dan ini dapat membantu kita untuk menjalankan siasatan kita di sini," katanya.
Menyentuh penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara, Khalid berkata ia tidak akan menjejaskan siasatan kes 1MDB.
"Semua urusan polis dan peguam negara akan berjalan seperti biasa," katanya.
Gani ditamatkan perkhidmatan mulai semalam atas sebab kesihatan.
sumber
No comments: