Peguam menyuarakan kebimbangan apabila polis mula menyiasat pemilik media, penerbit dan pembangkang, kerana "aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen", menjelaskan mereka hanya menyuarakan pendapat berhubung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibebani hutang.
Mereka berkata, polis menyalahgunakan kuasa di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana pendapat yang disuarakan terhadap 1MDB tidak bermaksud untuk menjatuhkan kerajaan.
Seksyen 124 berkaitan aktiviti yang dianggap memudaratkan sistem demokrasi berparlimen. Ia mengandungi beberapa peruntukan termasuk percetakan, penjualan, pengedaran, dan memiliki apa-apa dokumen atau penerbitan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun, jika disabitkan kesalahan.
Melalui penggunaan seksyen itu, peguam berkata, pihak berkuasa menyasarkan untuk mendiamkan pemberi maklumat, menghentikan kewartawanan penyiasatan, dan mengalihkan perhatian isu pokok membabitkan 1MDB.
Peguam M Visvanathan berkata, ini kali pertama sepanjang pengetahuannya polis menggunakan seksyen tersebut sejak Parlimen meluluskan pindaan Kanun Keseksaan pada 2012.
"Tetapi saya tidak faham bagaimana tindakan media mampu menggugat sistem politik negara," katanya, dan menambah, dakwaan yang dibuat hanya berkaitan 1MDB dan beberapa individu yang rapat dengan syarikat pelaburan strategik negara itu.
Visvanathan berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini berhubung polis sudah merekodkan percakapan ketua pegawai eksekutif dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat bagi membantu siasatan berhubung artikel akhbar kewangan harian itu berkenaan 1MDB.
Khalid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan menambah, polis turut merakamkan kenyataan pemilik kumpulan media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong.
Media melaporkan polis turut menyiasat 2 pemimpin pembangkang iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli - menggunakan seksyen yang sama.
Peguam Amer Hamzah Arshad berkata, beliau melihatnya sebagai sesuatu yang pelik apabila polis menggunakan Seksyen 124, kerana mereka hanya menyuarakan pendapat.
"Tiada sebarang revolusi untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak sah. Mereka yang menjadi sasaran hanya menyuarakan pendapat mereka, yang mana ini dibenarkan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia," kata Amer.
Peguam yang mengendalikan kes jenayah dan hak asasi manusia itu berkata, pemilik media hanya menyuarakan pendapat mereka yang mungkin tidak digemari beberapa individu dalam pentadbiran kerajaan.
"Mereka yang tidak berpuas hati boleh memfailkan saman fitnah dan juga mendapatkan injunksi untuk menghentikan media daripada terus membuat laporan sedemikian," katanya.
Amer berkata, kerajaan yang dipilih berdasarkan sistem demokrasi boleh ditumbangkan melalui undi tidak percaya atau peti undi.
"Juga bukan menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang menggesa peletakan jawatan perdana menteri atas kelemahan tadbir urus dan ia tidak boleh dianggap satu kesalahan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan," katanya.
Amer berkata, perlu diingat, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah ditekan melepaskan jawatannya setahun selepas pilihan raya yang menyaksikan pengurangan majoriti kerajaan Barisan Nasional di Dewan Rakyat.
Peguam sivil, Alex De Silva berkata tindakan polis tidak masuk akal kerana ia menyasarkan mereka yang mendedahkan skandal memberi kesan kepada orang ramai.
"Apa yang dilakukan media selari dengan prinsip demokrasi berparlimen dan tidak berlawanan dengannya. Mereka yang mendedahkan skandal itu pejuang sejati negara," katanya.
De Silva berkata, menjadikan penerbit media sebagai sasaran juga merupakan satu amaran kepada mereka dalam industri sama untuk menghentikan kewartawanan penyiasatan, terutamanya terhadap mereka yang berkuasa.
Beliau berkata, tindakan memburu Ho dan Tong adalah pramatang kerana pasukan petugas khas Putrajaya, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga sedang menyiasat skandal 1MDB.
"Jika laporan itu tidak berasas, mereka boleh disiasat kerana jenayah fitnah, tetapi untuk disiasat kerana kesalahan melanggar sistem demokrasi berparlimen, terlalu sukar diterima akal," katanya.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, media dan pembangkang tidak menentang negara dalam mendedahkan skandal itu tetapi hanya individu berkaitan 1MDB.
"Mendedahkan rasuah dan kesalahan urus tadbir dana berbilion ringgit bukan kesalahan mengikut Seksyen 124. Satu kesalahan yang ekstrem dalam mentafsir undang-undang apabila mereka disiasat mengikut seksyen ini," katanya.
Paulsen berkata, seksyen itu tidak jelas dan terlalu luas dan takrifan "aktiviti menggugat demokrasi berparlimen" terkandung dalam Seksyen 130A Kanun Keseksaan.
"Rasionalnya kelihatan seperti, ia melibatkan aktiviti berbentuk perjuangan bersenjata, keganasan, bagi menggulingkan kerajaan yang dipilih berlandaskan undang-undang," katanya.
Paulsen berkata, tindakan pihak berkuasa itu juga menunjukkan, mana-mana pemberi maklumat, termasuk mereka daripada media, tidak akan dilindungi jika mereka didakwa adalah mereka yang berkuasa.
"Polis kini menyasarkan media untuk mengekang kesan daripada pendedahan yang dibuat mengenai skandal 1MDB," katanya, sambil menambah, tindakan itu cubaan mengugut mereka yang bersikap kritikal dan berkongsi maklumat berkenaan isu itu.
Paulsen berkata, ia juga salah satu cara untuk mengalihkan perhatian daripada dakwaan berbilion ringgit disalurkan kepada akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan RM2 juta wang yang didepositkan ke dalam akaun isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, itu juga alasan pihak berkuasa menghalang akses kepada laman web Sarawak Report, menyiasat mereka lantang berkenaan 1MDB di bawah seksyen yang pertama kali digunakan dan akhirnya menggantung permit The Edge selama 3 bulan.
sumber
No comments: