Pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan pemindahan wang sebanyak AS$700 juta (RM2.67 bilion) ke akaun Datuk Seri Najib Razak didakwa daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengumumkan akan menyiasat semua pendedahan media berkaitan.
Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu menerusi Pejabat Peguam Negara tidak menyatakan dengan jelas sama ada mereka akan menyiasat dakwaan tersebut atau menumpukan siasatan bagi mendakwa pihak yang melakukan pendedahan itu.
"Berhubung pendedahan dalam media yang dikaitkan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semua pendedahan itu dipandang serius pasukan petugas khas dan siasatan akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang berkenaan," kenyataan mereka dipetik.
Genap seminggu selepas dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) terhadap Najib, Sarawak Report semalam mendakwa isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor pula menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.
Menurut Sarawak Report, jumlah itu didakwa didepositkan seorang “pembantu peribadi” Rosmah bernama Roslan Sohari menerusi 8 transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik “Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)” di cawangan Bangunan Getah Asli Kuala Lumpur.
Kenyataan terkini dari pasukan yang diketuai empat agensi penguatkuasa dalam negara ini belum cukup diyakini ramai orang kerana skop siasatan mereka yang melencong jauh daripada jangkaan orang ramai.
Mereka sehingga kini belum mengumumkan sama ada wujud pemindahan dana RM2.67 bilion yang didakwa dibuat kepada akaun peribadi Najib.
Sebaliknya, pasukan itu sekadar mengumumkan mereka tidak membekukan akaun Najib kerana ia sudah ditutup.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang turut serta dalam pasukan itu sekadar mengumumkan pihaknya akan memburu orang yang membocorkan dokumen yang digunakan WSJ dalam laporan mereka.
sumber
No comments: