» » Najib Razak tukarkan hero menjadi penjenayah dengan siasat pemberi maklumat skandal 1MDB


Putrajaya "menukarkan patriot menjadi penjenayah" apabila ia memburu pemimpin pembangkang dan pemilik kumpulan The Edge Media Tong Kooi Ong kerana membuat pendedahan kritikal berhubung dana negara yang dibebani hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata DAP.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, adalah "gila" jika beranggapan tindakan mendedahkan skandal dan salah laku yang melibatkan entiti berkaitan kerajaan atau pemimpin negara boleh dianggap sebagai kesalahan.

"Sekarang, nampaknya kegilaan menjadi normal dalam lingkungan kelompok tertentu dalam kerajaan," kata ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya ingin bertanya kepada Datuk Seri Najib Razak: Tuan Perdana Menteri, anda sedang tukarkan Malaysia menjadi apa? Kenapa anda hendak tukarkan patriot menjadi penjenayah?"

Lim mengulas berita yang polis sedang menyiasat ahli Parlimen pembangkang Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) dan Rafizi Ramli (PKR-Pandan), serta Tong di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Malaysiakini melaporkan ketiga-tiga mereka sedang disiasat kerana didakwa terlibat aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Sumber polis memberitahu portal berita itu, siasatan yang dijalankan berkaitan dengan dakwaan yang dokumen 1MDB diusik dan dipalsukan sebagai sebahagian daripada plot untuk menggulingkan Najib.

Lim berkata hari ini, mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan, penalti untuk aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen mungkin menyaksikan Pua, Rafizi dan Tong menjalani hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Pua dihalang daripada meninggalkan negara hari ini ketika cuba untuk menaiki penerbangan ke Indonesia petang tadi, manakala Rafizi memeriksa status perjalanannya di laman web Jabatan Imigresen dan mengesyaki beliau juga dihalang daripada membuat perjalanan.

Tong juga dilaporkan berdepan larangan yang sama, menurut Malaysiakini.

Pua dan Rafizi juga dinamakan oleh bekas editor Sarawak Tribune, Lester Melanyi, dalam video pengakuannya, di mana beliau mendakwa ahli Parlimen pembangkang bekerjasama dengan Sarawak Report mengubah dan memalsukan dokumen 1MDB.

Dua pemimpin pembangkang itu menafikan dakwaan tersebut dan merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Melanyi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata terdahulu hari ini, polis selesai merakamkan kenyataan Melanyi dan mungkin menangkap mereka yang dinamakan dalam video itu tidak lama lagi.

Laman web pemberi maklumat Sarawak Report dan The Edge banyak menerbitkan laporan dan pendedahan mengenai 1MDB.

Dakwaan salah laku itu, yang juga dibangkitkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, membuatkan Najib didesak meletak jawatan.

Najib ialah menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Sarawak Report dan The Edge dituduh memperolehi data yang diusik dan menggunakannya dalam pendedahan mereka.

Warga Switzerland, Xavier Andre Justo, juga bekas pengarah PetroSaudi International, dituduh mencuri maklumat mengenai 1MDB untuk memeras ugut. Dia juga dituduh menyalahgunakan data itu.

Justo didakwa bertemu dengan seorang ahli Parlimen DAP, pemilik sebuah kumpulan media di Malaysia dan lain-lain, untuk menyampaikan maklumat itu kepada mereka.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .