Beliau kemudian memetik sebuah hadis mengenai amalan yang mendekatkan umat Islam dengan syurga iaitu menjaga akidah, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menjaga silaturahim.
"Sembahyang tak tinggal, tapi jadi batu api, fitnah, adu domba, hancurkan perpaduan, tak jamin jadi ahli syurga. Ini peringatan untuk kita semua," katanya lagi.
Tentunya kita rasa berbangga dan menghargai ingatan ini kerana ia menggambarkan ketinggian akal budinya sebagai pemimpin utama negara ini.
Tetapi pada 3 Julai 2015, Wall Street Journal (WSJ) dalam laporan sensasinya menerbitkan tulisan yang mengaitkan penyaluran dana 1MDB berjumlah hampir AS$700 juta ke akaun peribadi milik Najib.
Memetik ianya daripada dokumen siasatan kerajaan sendiri, WSJ percaya ia adalah pergerakan wang tunai di kalangan agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB sebelum ianya berakhir dalam akaun peribadi Najib.
Dalam masa yang sama, Sarawak Report juga mendakwa, sejumlah wang melalui syarikat kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB turut dipindahkan ke dalam tiga akaun peribadi milik Najib di sebuah bank tempatan.
Jumlah wang yang dipindahkan dan nombor akaun bank yang dikatakan milik Najib juga didedahkan dalam laporan itu.
Sudah tentu ini merupakan pukulan terbaru kepada Najib yang mungkin mula berasa selesa dengan isu 1MDB yang mulai mengendur kesannya dan kemudian tanpa ragu-ragu pula menangguhkan pemilihan Umno selama 18 bulan lagi.
Apakah pendedahan ini tidak betul atau fitnah?
Dalam reaksi segeranya, 1MDB menafikan laporan WSJ itu dengan mengatakan syarikat pelaburan itu tidak pernah sama sekali menyalurkan sebarang dana kepada Najib.
Melihat bagaimana dakwaan ini didedahkan, penafian daripada 1MDB saja tentunya tidak mencukupi. Sekadar membuat penafian dan mengatakan ia laporan tidak bertanggungjawab, sesiapa pun boleh melakukannya.
Disebabkan kerana yang dituduh dan dilibatkan secara langsung ialah Najib sendiri, maka beliau wajib tampil dengan penjelasan dan bukti-buktinya sekali.
Tanpa ada pilihan lain dan sebagai pahlawan Bugis, beliau perlu berani tampil dengan bukti atau dokumen, beliau tidak pernah menerima dana tersebut dan tunjukkanlah juga nombor akaun bank yang didedahkan itu bukan miliknya.
Kemudian, ambillah pula tindakan undang-undang terhadap WSJ dan Sarawak Report jika terbukti laporan yang mereka terbitkan itu adalah palsu, tidak benar dan fitnah.
Kiranya semua tindakan ini tidak diambil, ia adalah merbahaya kepada masa depannya kerana akan menjuruskan tanggapan umum beliau sudah terjerumus kepada perbuatan tidak amanah sebagai pemimpin.
Ia bukan saja bahaya kepada kedudukannya di dunia tetapi juga di akhirat nanti.
Untuk pengetahuan Najib, agama juga sering mengingatkan, selain fitnah, adu domba dan menghancurkan perpaduan, perbuatan pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat adalah lebih dulu dihisab dan ditolak daripada memasuki syurga.
sumber
No comments: