Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan yang meyakinkan atau membuat penafian berhubung dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) berbilion ringgit dimasukkan ke akaun peribadi beliau.
Timbalan perdana menteri berkata, ini kerana dakwaan WSJ terhadap perdana menteri itu lebih bersifat peribadi.
“Saya menyambut baik kenyataan Datuk Seri Najib yang menafikan tuduhan dilemparkan terhadap beliau.
“Sekiranya beliau yakin semua tuduhan itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata, maka adalah wajar beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak yang membuat tuduhan demi membersihkan nama beliau dan mengembalikan kredibiliti kerajaan,” kata timbalan perdana menteri itu melalui kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.
Menurut beliau lagi, pertuduhan itu boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti Najib sebagai perdana menteri dan ketua kerajaan apatah lagi ia menarik perhatian rakyat serta media antarabangsa dan pastinya menyentuh kepentingan awam.
Baru-baru ini, Wall Street Journal mendedahkan mengenai beberapa akaun peribadi milik Najib yang didakwa menerima sejumlah wang daripada beberapa buah entiti yang dikatakan mempunyai hubungan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Justeru, Muhyiddin menggesa pihak berkuasa penyiasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara bertindak segera untuk menyiasat segala tuduhan yang dibuat.
“Saya yakin siasatan mengenai perkara ini akan dijalankan secara terperinci, telus dan bebas demi mencari kebenaran,” katanya lagi.
sumber
No comments: