Pendedahan terbaru WSJ (The Wall Street Journal) tentang bagaimana sebanyak USD700 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah satu pendedahan paling menarik dan mengejutkan.
Pendedahan ini merupakan siri serangan yang berterusan dan ia dilihat sebagai antara serangan terbaik pernah dilakukan.
Kita semua sedar, bila Tun Dr Mahathir Mohamad memilih Najib sebagai pengganti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib akan menjadi lembu cucukan hidung terbaik Dr Mahathir kerana isu Altantuya yang membelengu Najib.
Namun, ternyata bidikan rakyat tidak tepat dan tersasar. Najib melawan dan masih mampu bertahan dalam pilihan raya umum walau tidak cemerlang. Malah Kedah dan Perak kembali menjadi negeri Barisan Nasional.
Selain Altantuya, masalah terbesarnya ialah Datin Seri Rosmah Mansor. Imejnya yang buruk, berbelanja mewah, queen control dan menjadikan imej sebagai isteri perdana menteri begitu berkuasa apa sahaja sangat menyakitkan hati dan mata rakyat.
Namun Najib bukan entengan. Beliau terus berkuasa. Tanpa apa-apa simbol kejayaan yang besar selain 1Malaysianya dan BR1M, Najib masih dipersada Putrajaya.
Malah di zamannya ekonomi rakyat begitu menekan, minyak dinaikkan tanpa mempedulikan kesempitan rakyat, kejatuhan nilai ringgit di tahap terendah malah harga barangan meningkat tinggi dengan kehadiran gst.
Di manakah sebenarnya kekuatan Najib? Ubat kuat jenis apakah yang digunakan?
Atau sebenarnya ia adalah kelemahan rakyat Malaysia yang sememangnya begitu. Sepertimana kata Dr Mahathir, Melayu adalah pelupa yang terbaik yang pernah ada di muka bumi ini.
Di negara- negara lain, mereka tidak memerlukan sesuatu yang seteruk Najib Razak lakukan untuk kerajaan mereka tumbangkan. Cukup dengan hanya menaikkan harga minyak dan beberapa rasuah politik , maka rakyat bangkit merentap dan tumbangkan pemimpin sebegitu.
Anda tahu kenapa Najib gagah atau ubat kuat apa yang digunakan Najib sekarang? Ya, kita. Kitalah ubat kuat itu. Kita terlalu naif dan menjadi bangsa yang hanya marah untuk sementara dan tega diri diperkotak-katikkan.
Kenapa kita menjadi begitu, kerana kita lama diasuh dan didodoikan. 22 tahun di zaman Dr Mahathir, kita berjaya menjadi lembu cucukan hidung pemimpin.
Ayuh rakyat Malaysia. Kita berubah. Inilah masanya. Jangan nanti kita dihina anak cucu kita kerana lemahnya kita di zaman kita.
No comments: