» » Musa Hitam cadangkan Najib Razak bercuti


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai 3 pilihan dalam merencana masa depannya bagi menangkis tuduhan pemindahan wang AS$700 juta (RM2.67 bilion) yang dipindahkan ke akaun peribadinya, kata Tun Musa Hitam.

Bekas timbalan perdana menteri yang berkhidmat dari tahun 1981-1986 itu berkata, Najib boleh kekal memegang jawatannya dan berhadapan tuduhan itu, meletak jawatan, atau bercuti bagi memberi laluan kepada siasatan sedang berlangsung.

Secara peribadinya, beliau amat mengesyorkan jika Najib memilih jalan ketiga bagi "memberi ruang secara psikologi, politik dan perundangan" kepada siasatan yang sedang berlangsung ke atas dakwaan itu.

Menurutnya, Najib boleh meletakkan jawatan dan ia ibarat "sagu hati" kepada negara bagi memberi laluan kepada pelapis baharu dalam Umno.

"Namun, saya dengan rendah diri mengesyorkan Najib melaksanakan pilihan ketiga iaitu bercuti buat sementara waktu bagi memudah cara siasatan non-partisan yang sedang berlangsung.

"Ini pilihan terbaik yang akan mempamerkan kepimpinan Najib, karakter, serta personaliti yang selari dengan prinsip demokrasi berparlimen," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

UMNO dalam penafian

Sementara itu, mengulas situasi Umno sekarang, Musa menyifatkan parti itu kini berada dalam penafian.

Katanya, Umno perlu mengakui masalah ini dan mencari ikhtiar bagi menyelesaikannya.

"Mereka perlu cari alternatif dan ini tidak bermakna menyingkirkan presiden tetapi meneliti pilihan-pilihan yang ada.

"Ini perlu dilakukan dengan tenang, rasional dan mengambil kira kepentingan negara," katanya lagi.

Musa juga menegaskan beliau tidak percaya dengan sokongan terbuka diberikan kepada mana-mana pemimpin yang masih memegang tampuk kuasa.

"Mereka yang mengikrarkan sokongan ini adalah yang pertama akan angkat kaki apabila pemimpin mereka dilanda masalah," katanya mengimbau kembali kenangannya dalam parti.

Pada 2 Julai lalu, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan sebanyak AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke akaun peribadi Najib di AmPrivate Bank, Kuala Lumpur.

Dakwaan itu kemudian disokong dengan dokumen yang dimuat naik ke atas talian oleh WSJ.

Terkini, pasukan petugas khas menyiasat dakwaan WSJ mengesahkan Najib pernah mempunyai 2 akaun peribadi di AmBank yang sudah ditutup – sekali gus mengiakan sebahagian daripada laporan WSJ.

Najib bagaimana pun sebelumnya tanpa mengesahkan atau menidakkan laporan itu, menafikan pernah menggunakan wang yang dimaksudkan demi "kepentingan peribadi".

Sewaktu laporan ini ditulis, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor pula didakwa menerima deposit wang sebanyak RM2 juta di antara 10 Februari hingga 23 April tahun ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .