» » Muhyiddin Yassin boleh jadi suara akar umbi tuntut penjelasan skandal 1MDB


Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru dipecat sebagai timbalan perdana menteri masih boleh menjadi ejen bebas mewakili akar umbi mendesak Datuk Seri Najib Razak menjawab isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk A Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Time Press (NSTP) itu berkata, Muhyiddin yang masih timbalan presiden bagaimanapun perlu berhati-hati kerana Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berada di bawah telunjuk Najib boleh menyingkirkannya atas alasan melanggar disiplin parti.

"Muhyiddin dan para penyokongnya mungkin tidak berupaya mengubah keadaan di peringkat atas sama ada dalam Umno atau kerajaan tetapi mereka boleh mengubah persepsi dan sokongan rakyat jelata dan pengundi," tulis Kadir di blognya dalam artikel bertajuk, ‘Hikmah di sebalik pemecatan Muhyiddin’, hari ini.

Kadir berkata, Muhyiddin boleh menjadikan Umno parti inklusif dengan berinteraksi dengan akar umbi walaupun percubaan sudah mula dibuat bagi menyekat beliau mendampingi ahli.

Katanya, gerakan taktikal Najib menyingkirkan Muhyiddin dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta pelantikan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyelamatkan perdana menteri daripada diheret ke mahkamah berkaitan kes 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

"Najib berjaya mengekalkan kuasa eksekutif tetapi di mata khalayak yang mengerti beliau hilang kuasa moral untuk memerintah.

"Kuasa eksekutif beliau menjadi semakin kukuh kerana pengkritik beliau dalam Umno dan kerajaan disingkirkan atau digula-gula dengan pemberian jawatan menteri dan timbalan menteri," katanya.

Katanya, pemberhentian awal Gani memporak-perandakan penyiasatan pasukan petugas khas 1MDB, sama ada terhenti atau dialih matlamatnya, pegawai ditukar dan fail hilang atau "dibakul sampahkan".

Bagaimanapun, katanya, maklumat berkaitan penyiasatan 1MDB akan terus tersebar kerana banyak pihak dalam dan luar mempunyai maklumat dan dokumen mengenainya.

"Sudah terlambat menimbus bangkai gajah kerana sudah ditokak-tokak dan cebisannya dilarikan singa, cheetah, harimau bintang, dubuk (hyena), rubah, hereng, biawak dan helang," katanya.

Kadir berkata, dengan melantik pembesar Umno yang kemaruk kuasa dan bermuka-muka menjadi menteri dan timbalan menteri, Najib boleh mengarahkan mereka mengesan dan membinasakan "pencuri bangkai gajah" itu, supaya dapat mengalihkan perhatian daripada menyiasat jenayah kepada memburu pihak yang mendedahkannya.

Katanya, PAC juga lumpuh apabila pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed yang sebelum ini komited, ikhlas dan berani kini dengan riang rianya menerima jawatan timbalan menteri.

"Najib mungkin berjaya berpaut kepada kuasa tetapi setiap hari berlalu ekonomi bertambah goyah, ringgit dibedal, pasaran modal lesu dan Malaysia menjadi bahan ketawa satu dunia.

"Sebagai renungan, apakah berkat apabila, sebaik saja menteri polis (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi) dinaikkan pangkat menjadi timbalan perdana menteri, menara dua Bukit Aman tiba-tiba dijilat api? Satu kebetulan yang sangat menakjubkan!" katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .