» » 'Menteri dalam kabinet Malaysia tidak peduli apa yang betul dan apa yang salah dalam skandal 1MDB'


DAP hari ini bertanya jika tiada lagi integriti atau kesedaran moral yang tinggal di hati menteri Kabinet apabila Putrajaya menyalahgunakan undang-undang negara bagi melindungi penjenayah.

Mengulas mengenai penggantungan akhbar mingguan The Edge dan harian The Edge Financial Daily, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, rakyat menjangkakan sekurang-kurangnya beberapa menteri berkecuali daripada tindakan Putrajaya yang bermuka-muka.

Pua berkata, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Idris Jala nampak "lebih bijak" daripada yang lain dan diharapkan menyedari kemusnahan besar melalui penipuan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Bagaimanapun, walaupun ada sedikit kebijaksanaan, jelas menteri-menteri ini tidak ada kesedaran moral atau integriti dalam jiwa mereka.

"Mereka mungkin tidak bodoh, tetapi mereka tidak lagi peduli apa yang betul, apa yang salah," kata Pua dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, bagi mereka tidak penting yang negara ini sedang dirompak atau para saksi dan pemberi maklumat sedang dihukum.

"Mereka tidak akan bercakap menentang rasuah dan ketidakadilan kerana mereka hanya berminat mengekalkan status politik dan kuasa mereka sendiri," kata Pua.

Kementerian Dalam Negeri semalam mengumumkan penggantungan permit penerbitan The Edge dan The Edge Financial Daily selama 3 bulan, mulai 27 Julai.

Awal bulan ini, The Edge diberikan 7 hari, melalui surat tunjuk sebab, menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap penerbitan itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

The Edge dituduh menerbitkan artikel mengenai 1MDB, dana negara yang kontroversi, yang dikatakan menimbulkan kekeliruan dan keraguan tentang institusi kewangan kerajaan dan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga terkait dengan skandal itu, apabila wang daripada entiti berkaitan 1MDB didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

Beliau tidak menjawab dakwaan itu secara langsung tetapi hanya menafikan mengambil dana untuk "kepentingan peribadi".

DAP hari ini bertanya bagaimana pendedahan skandal kewangan berbilion ringgit melibatkan 1MDB boleh bertentangan dengan kepentingan awam.

Pua berkata, ia hanya boleh menjejaskan kepentingan negara jika ia berdasarkan pembohongan dan maklumat yang dipalsukan – sambil menambah, sehingga setakat ini – 1MDB tidak pernah mempertikaikan atau menunjukkan "versi tidak diubah suai" bagi bukti yang dikatakan diusik itu.

Tidak bersetuju dengan arahan penggantungan penerbitan itu, Pua berkata, 1MDB tidak pernah sekali pun menafikan dakwaan The Edge, laman pemberi maklumat Sarawak Report atau yang dibuat olehnya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, eksekutif 1MDB itu sebaliknya hanya membuat penafian yang umum atau samar-samar.

"Malah hakikatnya, presiden 1MDB itu berbohong kepada rakyat Malaysia mengatakan terdapat AS$1.1 bilion di sebuah bank di Singapura, sedangkan hakikatnya ia hanya aset tidak cair yang ditunjukkan sebagai 'unit' yang nilainya tidak dapat ditentukan," kata Pua merujuk kepada Arul Kanda Kandasamy.

Beliau berkata, walaupun semua ini terjadi, tindakan kejam tetap diambil terhadap media dan pemberi maklumat walaupun wujud fakta jelas yang menentang 1MDB.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .