Pelakon dan penyanyi Marsha Milan Londoh mengakui menyiasat status teman lelakinya terlebih dahulu sebelum menerimanya sebagai kekasih.
Marsha, 30, berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu terjerat dalam percintaan dengan suami orang yang pada akhirnya akan memakan dirinya kembali.
"Saya tidak berhasrat untuk merosakkan hubungan sesiapa dan sebab itu saya siasat terlebih dahulu status sebenar teman lelaki sebelum menerimanya.
"Pada saya ia amat penting kerana saya mahu mengelakkan sebarang masalah lain timbul di kemudian hari selain tidak mahu menyakiti hati wanita lain," katanya .
Bercakap lanjut mengenai hubungannya dengan lelaki berkenaan, Marsha berkata, mereka sudah mengenali hati budi masing-masing selama dua tahun malah telah berjumpa dengan keluarga masing-masing.
Dedah Marsha, lelaki berkenaan beragama Islam namun dia masih belum bersedia untuk bercakap soal perkahwinan buat masa ini.
"Syukur hubungan kami mendapat restu keluarga tetapi pada masa sama masih banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mengambil keputusan berkahwin.
"Bagaimanapun saya selesa berkawan dengannya kerana bukan senang untuk berjumpa seseorang yang memahami saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Marsha berkata, selain sibuk dengan kerjaya seni, dia juga kini sedang memberi fokus kepada bidang perniagaan iaitu Marsha Milans.
Jelasnya, jenama berkenaan memfokuskan kepada aksesori wanita dan buat permulaan dia memperkenalkan koleksi 'headbands' yang menggunakan corak batik.
"Saya fikir masih tidak ramai yang tampil dengan koleksi aksesori dan saya pula memang gemar memakai headbands jadi saya ambil peluang ini untuk mengetengahkan idea tersebut.
"Menariknya fabrik yang saya gunakan adalah daripada batik yang sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri.
"Selepas sambutan hari raya mungkin saya akan buat pelancaran secara kecil-kecilan untuk memperkenalkan Marsha Milans kepada peminat," jelasnya.
No comments: