» » Kos sambut raya semakin tinggi dan ia semakin dirasai terutama di Aidilfitri 2015


Rata-rata masyarakat mengakui perbelanjaan sempena Aidilfitri tahun ini meningkat berbanding tahun lalu disebabkan beberapa faktor terutamanya kenaikan harga barangan yang dijual sehingga menyebabkan pengguna terpaksa berbelanja lebih tahun ini.

Kenaikan harga minyak, harga barangan malahan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang atas alasan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menjadi salah satu faktor kepada peningkatan perbelanjaan isi rumah bagi sambutan perayaan tahun ini.

Seorang peniaga dari Merang, Setiu, Mohamad Riduan Lazim, 52, berkata, jika tahun lalu dia hanya berbelanja sekitar RM700 bagi membeli pakaian dan kasut baharu kepada lapan orang anaknya, tahun ini jumlah itu meningkat lebih sekali ganda.

“Bayangkan, setakat ni untuk beli baju raya sahaja sudah cecah RM1,300 untuk lapan orang anak saya, Itu belum termasuk kasut dan sebagainya.

"Harga baju melayu sahaja dah RM60 lebih.. Kalau dulu RM700 sudah cukup untuk beli pakaian baru bagi semua anak, tahun ni RM2,000 belum tentu cukup," katanya.

Kata Mohamad Riduan, mujurlah anak sulungnya telah bekerja dan dapat membantu sedikit sebanyak perbelanjaan rumah dan beli baju raya untuk adiknya.

Katanya, tahun ini dia menyediakan tiga pasang baju raya bagi setiap anaknya iaitu seramai empat lelaki dan lima perempuan.

Katanya, sebelum berkunjung ke Pusat Dagangan Terengganu (TTC), dia telah ke sebuah pasar raya di Jertih untuk persiapan raya anak dan telah berbelanja sebanyak RM700.

Kurang jumlah duit raya
Sementara itu, suri rumah dari Rusila, Zaharah Awang, 60, berkata, Aidilfitri tahun ini disambut sederhana berikutan kenaikan harga barang dan dia hanya memasak dalam kuantiti sedikit sahaja bagi meraikan ahli keluarga.

“Makcik tak kerja.. sedia apa yang perlu saja.. baju raya pun dah tak penting sangat.

"Setiap tahun pun makcik tak tentukan peruntukan untuk persiapan raya, empat orang anak pun dah besar dan ada keluarga masing-masing, jadi tanggungan dah berkurang dan perbelanjaan pun bolehlah jimat," katanya.

Lain pula ceritanya bagi seorang Buruh dari Bukit Payong, Kamal Ariffin Mohamad, 34, yang mengatakan Aidilfitri tahun ini berbeza berbanding tahun lalu kerana pada tahun lalu isterinya, Rasidah Ali, 32, meraikan Syawal ketika masih dalam pantang anak keduanya, Putera Hariz Iskandar, 1 tahun.

“Tak boleh nak anggarkan perbelanjaan raya tahun ini kerana tahun lepas Aidilfitri disambut sederhana kerana isteri masih berpantang.

“Dari segi perbelanjaan, memang saya akui, kita akan cuba sedaya upaya untuk berjimat. Bukan apa.. harga barang sekarang memang mahal. Tambah pula selepas GST ni. Semua peniaga ambil kesempatan naikkan harga barang sesuka hati mereka,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah duit raya yang diberikan kepada anak saudara atau tetamu yang berkunjung ke rumah, Kamal Ariffin berkata, biasanya, duit raya yang disediakan RM5 hingga RM10.

Bagaimanapun, katanya, Aidifitri kali ini jumlahnya dikurangkan disebabkan faktor kewangan.

"Tahun ni duit raya tak 'selebat' dulu, harga barang dah naik.. kos sara hidup pun tinggi, terpaksalah kurangkan," katanya.

Terpaksa berjimat

Seorang pekerja swasta dari Mengabang Telipot, Khariah Afiqah Mohd Ali, 19, berkata, Aidilfitri tahun ini akan disambut secara sederhana dan dia tidak beli baju raya memandangkan faktor kewangan.

“Semua barang naik harga, nak buat kuih raya pun kos dah tinggi.. nak beli baju raya pun kena fikir dua, tiga kali kerana mahal dan kalau yang murah tu kualiti sangat rendah.. tak padan dengan harga.

“Tahun lalu, saya berbelanja juga untuk persiapan raya kerana saya kerja selepas tamat SPM, tapi tahun ni saya terpaksa berjimat cermat," katanya.

Khariah juga tidak dapat beri duit raya kepada tetamu dan saudara mara kerana kenaikan harga minyak buatkan dia terpaksa berkira untuk berbelanja.

Sementara itu, rakannya, Izzufazita Che Hashim, 22, berkata, Aidilfitri tahun ini juga disambut sederhana dan dia tidak beli banyak baju raya.

“Saya hanya beli baju yang telah siap dijahit dalam dua pasang sahaja untuk Aidilfitri.

"Duit raya pula, saya bagi RM10 untuk anak saudara dan RM2 hingga RM3 untuk sepupu yang berkunjung ke rumah. Sebaliknya, duit raya bagi kanak-kanak yang beraya di rumah akan diberikan ibu bapa saya,” katanya.

Menurut Izzufazita, Aidilfitri tahun ini berbeza dengan tahun lalu kerana perbelanjaan tahun ini agak terhad kerana kenaikan harga barang semuanya mahal dan tidak masuk akal sedangkan modal yang dikeluarkan peniaga hanyalah sedikit sahaja.

“Kalau kita lihat harga barang ditawarkan tahun ini pun memang payah nak jumpa yang murah dan berkualiti. Kalau ada pun mungkin bernasib baik sahaja," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .