» » Dua rakan Jho Low dikehendaki oleh Bank Negara berkaitan siasatan skandal 1MDB


Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mencari dua bekas pengarah eksekutif syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

BNM dalam kenyataan mendedahkan butiran peribadi Tang, 50, yang beralamat di No. 112, Jalan 5/149G Taman Seri Endah, 57000 Kuala Lumpur.

Manakala Loo, 42, kali terakhir beralamat di 25, Jalan Seri Beringin 2, Damansara Heights, 50480 Kuala Lumpur.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan individu ini boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di talian 03-26988044 sambungan 8544/7610 atau boleh membuat laporan di balai polis berdekatan," kata BNM dalam kenyataan di laman web rasmi dan media sosial Facebook, hari ini.

Tang merupakan pengarah eksekutif 1MDB bahagian pembangunan perniagaan secara kontrak tiga tahun berakhir Mac 2011 sebelum jawatan tersebut diambil alih Loo yang sebelum itu di bahagian strategi.

Bagaimanapun tiada ganjaran bakal diberikan Bank Negara kepada pemberi maklumat untuk mencari dua individu terbabit.

Laporan sebelum ini mendakwa Tang bekerja dengan ahli perniagaan Low Taek Jho dan pengarah tertinggi PetroSaudi International mendapatkan AS$500 juta wang berbentuk nota murabahah untuk 1MDB.

Sebahagian AS$260 juta wang daripada 1MDB digunakan Low membeli syarikat Utama Banking (UBG) Bhd, lapor The Edge Weekly sebelum ini.

Laporan pada 7 Jun lalu berkata, Tang dan ketua pegawai pelaburan 1MDB Nik Faisal Nik Kamil, yang ketika itu baru menyertai 1MDB, bekerja secara aktif dengan PetroSaudi dan Low semasa pengambilalihan UBG.

UBG merupakan syarikat kewangan bekas ketua menteri Sarawak Tun Taib Abdul Mahmud, namun dijual RHB Bank pada tahun 2007 dan meninggalkan hampir RM2 bilion tunai yang menarik minat Low membeli syarikat itu.

Manakala Loo baru-baru ini dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) yang dikenal pasti sebagai setiausaha 1MDB untuk memberi keterangan selepas laporan awal Jabatan Audit Negara mendapati 1MDB menghadapi masalah di peringkat pelaburan.

Loo merupakan bekas pengarah eksekutif perundangan di UBG. Beliau berada dalam lembaga pengarah yang sama dengan Nik Faisal dan Jho Low.

1MDB kini menanggung hutang RM42 bilion, disiasat oleh pasukan petugas khas, PAC, dan audit negara kerana dakwaan menyalahguna dana kerajaan.

Pasukan khas juga meneliti dakwaan dana wang yang disalurkan sehingga ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bank Negara diketuai gabenornya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, selain Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai anggota pasukan petugas khas.

Setakat ini tiga individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan, terbaru pemilik syarikat perdagangan, Ariffin Ismail Shahlul Hameed, 28, yang ditahan reman empat hari bermula 27 Julai.

Turut ditahan pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Jerome Lee, namun pengarah eksekutif Putrajaya Perdana Berhad itu dibebaskan hari ini dengan ikat jamin RM100,000.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .