Pendedahan Wall Street Journal mengenai transaksi melibatkan pemindahan dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menimbulkan keresahan kepada rakyat Malaysia serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur sekali gus akan bakal menggoyangkan ekonomi.
Gabungan Merdeka Rakyat (GMR) melahirkan kekecewaan dan keresahan kami terhadap pendedahan oleh WSJ yang melibatkan pemindahan dana ke akaun peribadi Najib untuk tujuan membiayai Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).
Pendedahan ini menyebabkan maruah dan integriti perdana menteri terus menerus dipersoal. Tidak cukup dengan skandal 1MDB, Tabung Haji, Mara dan beberapa tuduhan lain, pendedahan ini sangat menggemparkan lebih-lebih lagi ia dibuat oleh sebuah badan media antarabangsa yang mempunyai reputasi cukup tinggi. Ini sangat merunsingkan!
Sekali gus, maruah dan integriti negara terus dipersoal dan diperlekeh akibat terus dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai tuduhan melibatkan moral dan integriti.
Demi mempertahan maruah dan integriti negara, Najib sewajarnya meletak jawatan bagi membenarkan siasatan dijalankan untuk membantu melicinkan proses siasatan dan tidak menimbulkan persepsi akan wujudnya campur tangan.
Najib boleh mengambil contoh yang dibuat oleh bekas perdana menteri Korea Selatan, Lee Wan-Koo, yang juga dipalit tuduhan rasuah. Beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri negara itu selepas dituduh menerima rasuah untuk membiayai dana kempen pilihanraya.
Selain itu, adalah dicadangkan supaya perdana menteri membuat satu deklarasi pengisytiharan harta, termasuk akaun peribadinya. Ini sangat penting demi membersihkan nama beliau yang semakin tercalar.
Saranan ini juga merupakan sebahagian daripada tuntutan dasar GMR serta ditujukan juga kepada semua ahli Kabinet demi menjaga nama baik mereka serta integriti jemaah menteri.
GMR berharap jika perdana menteri memikirkan soal maruah dan integriti negara, sewajarnya bersegera meletakkan jawatan demi memperbaiki semula reputasi negara di mata dunia.
sumber
No comments: