» » Bank Negara perlu buat laporan jika benar berbilion ringgit masuk ke akaun Najib Razak


Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis jika benar terdapat lebih RM2 bilion di dalam akaun bank peribadi perdana menteri, kata peguam kepada The Malaysian Insider.

Mereka berkata, beban kini terletak kepada bank pusat melaporkannya agar siasatan segera dapat dijalankan.

"Bagaimanapun, ia bukan terpulang kepada bank pusat untuk menyiasat kes itu bagi sebarang kesalahan kerana ia tidak termasuk dalam skopnya untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram atau rasuah," kata peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.

Geethan, bekas timbalan pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara memberitahu The Malaysian Insider, apabila sejumlah besar wang dipindahkan ke akaun mana-mana individu, BNM akan menerima notis pemberitahuan.

"Bank Negara akan melihat penghantar dan penerima dan jika mereka berpuas hati tiada yang luar biasa, mereka tidak akan melakukan apa-apa.

"Sebagai contoh, ia boleh jadi pergerakan wang biasa bagi seorang ahli perniagaan jutawan yang sering mendapat jumlah besar sebegitu.

"Tetapi apabila terdapat pemindahan besar dan mereka tidak melihat sebarang alasan untuknya, mereka akan memberitahu SPRM, dan terpulang kepada badan anti-rasuah untuk menyiasat," kata Geethan yang pakar dalam kes jenayah komersial.

Geethan berkata, dalam kes melibatkan jumlah berbilion ringgit yang didakwa disimpan dalam akaun peribadi Najib, menjadi tanggungjawab BNM memaklumkan kepada SPRM dan satu-satunya pihak lain yang mempunyai maklumat itu adalah bank dan pemegang akaun sendiri.

Bekas presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee (gambar, kanan) bersetuju yang bank pusat mempunyai tanggungjawab memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia jika benar dakwaan sejumlah wang berada di dalam akaun peribadi Najib.

Beliau berkata, memandangkan The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report menuduh perdana menteri tentang salah laku, agensi penguatkuasaan undang-undang wajib menyiasat.

"Artikel WSJ dan Sarawak Report menuduh PM melakukan salah laku jenayah.

"Semua agensi penguatkuasaan undang-undang kita perlu menyiasat tuduhan ini kerana rasuah, penyelewengan dan pengubahan wang haram," kata Lim dalam mesej WhatsApp kepada The Malaysian Insider.

Pada Jumaat, akhbar harian perniagaan WSJ berkata, siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh pihak berkuasa Malaysia mendapati berbilion ringgit dipam ke dalam akaun-akaun peribadi Najib.

WSJ dan laman pendedah maklumat Sarawak Report memetik dokumen siasatan 1MDB dengan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mendakwa peguam negara juga sedar akan maklumat tersebut.

Dokumen yang didakwa menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) bergerak di beberapa agensi kerajaan, bank dan entiti dikaitkan dengan 1MDB, sebelum berakhir di akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan, kata WSJ.

Ia berkata urus niaga terbesar adalah deposit sebanyak AS$620 juta dan satu lagi AS$61 juta di antara Mac 2013 dan Februari ini.

Urus niaga pertama dilakukan 2 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.

Sarawak Report berkata, RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengambil pinjaman sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Urus niaga terkini, menurut laporan itu, adalah pada Februari tahun ini. Dokumen-dokumen menunjukkan SRC International memindahkan RM10 juta ke dalam akaun di bawah nama "Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak" di AmPrivate Bank di Kuala Lumpur.

The Malaysian Insider menghubungi bank yang enggan mengulas mengenai perkara itu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bagaimanapun, mendedahkan semalam satu pasukan petugas khas ditubuhkan terdiri daripada SPRM, polis dan BNM menyerbu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan pejabat Ihsan Perdana Sdn Bhd pada Jumaat dan mendapat lebih banyak dokumen.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .