Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa segera menjelaskan mengenai situasi siasatan 1 Malaysia Development (1MDB) oleh pasukan khas memandangkan pertukaran jawatan peguam negara iaitu kepada Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.
Ahli Parlimen Umno itu antara tetamu yang kelihatan berada di rumah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, gesaan tersebut dinyatakan kerana tidak mahu situasi di mana peguam negara digugurkan pada saat akhir penyiasatan syarikat bermasalah akan memberi gambaran negatif kepada kerajaan.
"Yang kita bimbang dari segi institusi apabila peguam negara digugurkan pada saat-saat akhir kerana kita tahu ada siasatan dan ia kini di peringkat akhir. Ini memberi gambaran negatif kepada kerajaan.
"Saya harap perdana menteri dapat jelaskan status siasatan pasukan khas mengenai 1MDB ini," katanya ketika ditemui di hadapan rumah bekas timbalan perdana menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut mengulas mengenai situasi berlaku terhadap badan tersebut apabila tiga daripada anggota dan termasuk pengerusi dilantik menjadi timbalan menteri dalam rombakan Kabinet.
Katanya, buat masa kini, segala pelantikan ahli PAC baharu akan diputuskan oleh speaker dalam sesi Parlimen akan datang iaitu pada Oktober ini.
Pada masa sama beliau berkata, tindakan melantik 3 ahli PAC dalam Kabinet tidak akan merencatkan sama sekali siasatan 1MDB.
Katanya meskipun dengan pelantikan panel baru PAC, siasatan tetap akan berterusan.
"Kita tidak tergesa- gesa dalam mendapat keputusan, kerana kamu (1MDB) tidak akan dapat lari daripada jawapan.
"Saya juga mahu jawapan kerana isu 1MDB merupakan antara skandal terbesar yang berlaku dalam negara.
"Ia seolah-olah datang serentak, Isnin anda menggugurkan peguam negara, Selasa anda menukarkan barisan panel PAC, ianya memberikan persepsi negatif," katanya.
Selain itu beliau juga menjelaskan kehadirannya di rumah Muhyiddin kerana masih memberi sokongan dan menghormati timbalan presiden Umno itu.
"Beliau masih dalam Umno, dan merupakan bekas timbalan perdana menteri ," katanya.
Aziz berpendapat pengguguran jawatan Muhyiddin itu tidak harus dilihat sebagai timbalan presiden Umno itu melakukan kesalahan.
"Beliau digugurkan kerana bukan melakukan kesalahan besar tapi perbezaan pendapat dari segi 1MDB.
"Saya rasa beliau juga menerima hak perdana menteri untuk menggugurkan beliau," katanya.
Rumah Muhyiddin semenjak dari awal pagi tadi menerima pelbagai kunjungan daripada sahabat handai, saudara dan kenalan terdekat.
Pagi tadi The Malaysian Insider difahamkan Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama bekas kakitangannya.
sumber
No comments: