Lima anggota Pemuda Umno didakwa terlibat dalam skandal ketirisan hartanah Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM63 juta, kata pertubuhan pembocor rahsia National Oversight and Whistleblowers (NOW).
Pengarah NOW Rafizi Ramli berkata, kelima-lima individu tersebut terbabit dalam 3 pembelian hartanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu hartanah 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queem Street.
"Ada ketirisan yang perlu dijawab individu-individu yang semuanya adalah sama ada pemegang jawatan Pemuda Umno ataupun individu yang rapat dengan mereka," kata ahli Parlimen Pandan itu pada sidang media di pejabat NOW, Sungai Besi pagi ini.
Minggu lepas, Rafizi yang juga setiausaha agung PKR mendedahkan tiga hartanah ini dijual pada harga AUD$23.5 juta seperti rekod di Australia tetapi jumlah diluluskan Mara adalah AUD$41.8 juta (RM138.6 juta).
Rafizi membina kaitan Pemuda Umno ini dalam sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Limited yang didaftar di pusat kewangan pesisir luar pantai British Virgin Island (BVI).
Malah, lebih mengejutkan, syarikat tersebut didakwa didaftarkan hanya selepas pembelian hartanah di 746 Swanston Street itu selesai.
"Pembelian hartanah ini diluluskan oleh Majlis Mara pada 9 Ogos 2012 dan urus niaga disempurnakan pada 28 Ogos 2012.
"Carian syarikat ini menunjukkan ia hanya didaftarkan pada 18 Januari 2013 iaitu selepas Mara membeli hartanah 746 Swanston Street. Ini bermakna urus niaga yang disempurnakan pada 28 Ogos 2012 itu tidak menggunakan syarikat milik Mara," katanya.
Sementara itu, dua Pemuda Umno yang berada dalam syarikat tersebut juga tidak kena mengena dengan Mara, tetapi menurut Rafizi terlibat dalam urus niaga pembelian hartanah di 746 Swanston Street itu.
Mereka juga terlibat dalam syarikat Optimus Capital Sdn Bhd dan Biosis Group Berhad, katanya.
Individu yang berada dalam Biosis itu katanya, memegang jawatan kedua tertinggi dalam pergerakan sayap Umno itu.
Rafizi mendakwa daripada maklumat yang diperolehnya ini, wujud bukti mereka ini terlibat sebagai pengatur kepada urus niaga kontroversi hartanah di Australia.
"Maklumat yang diberikan kepada saya menyatakan mereka ini terlibat sebagai pengatur kepada urus niaga ini dan berkemungkinan mendapat keuntungan daripada urus niaga ini.
"Wajar jika Pemuda Umno memberi penjelasan kepada perkara ini," desak Rafizi.
Sementara itu, Rafizi juga mendedahkan sudah bertemu dengan seorang ahli perniagaan daripada syarikat DKLS Industries Berhad yang terlibat dalam urusan pembelian dua hartanah, 33 Exhibition Street dan 51 Queen Street.
Katanya, dalam pertemuan mereka semalam, individu tersebut yang merupakan seorang pengarah eksekutif mengakui harga yang dibeli Mara itu memberi keuntungan kepadanya dan beranggapan urusan itu baik baginya.
sumber
No comments: