1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini berkata ia tidak pernah memberi sebarang dana kepada Datuk Seri Najib Razak, susulan laporan Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report mengatakan berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri.
Syarikat pelaburan strategik negara itu berkata, ia sesuatu yang "sangat tidak bertanggungjawab" bagi media untuk membuat dakwaan itu, menyifatkannya satu percubaan untuk sengaja melemahkan syarikat bermasalah itu yang kini hebat dikritik kerana hutangnya yang mencecah RM42 bilion.
"1MDB ingin menjelaskan, syarikat ini tidak pernah menyalurkan sebarang dana kepada perdana menteri. Untuk mencadangkan sebaliknya, seperti dilakukan beberapa media, adalah sangat tidak bertanggungjawab dan satu percubaan yang sengaja bertujuan melemahkan syarikat ini," kata 1MDB dalam satu kenyataan hari ini.
WSJ dan Sarawak Report hari ini melaporkan, siasatan ke atas syarikat yang sarat dibebani hutang itu mendapati berbilion ringgit dipam ke dalam beberapa akaun peribadi Najib.
Kedua-duanya memetik dokumen yang diambil daripada siasatan ke atas 1MDB yang sedang dijalankan kerajaan Malaysia, dengan Sarawak Report mengatakan Peguam Negara juga menyedari perkara tersebut.
WSJ melaporkan, dokumen menunjukkan AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi kerajaan, bank dan entiti berkaitan 1MDB dan akhirnya ke akaun peribadi perdana menteri dalam 5 deposit berasingan.
Sarawak Report melaporkan, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengambil pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP.
1MDB berkata hari ini, ia "terkejut" apabila dokumen yang masih belum disahkan, digunakan untuk menyokong dakwaan terhadapnya, susulan pendedahan baru-baru ini yang dokumen yang diubahsuai digunakan untuk menuduh syarikat itu terlibat dalam salah laku.
"Pendedahan terbaru menimbulkan tanda tanya mengenai kebenaran beberapa dokumen 'bocor' yang digunakan media dan blog tertentu seperti Sarawak Report digunakan untuk mengelirukan orang ramai dan membenarkan dakwaan palsu terhadap syarikat itu dan kerajaan," katanya.
"Oleh itu, kami terkejut dokumen seperti ini, yang mana kewujudannya dan kesahihan belum dipastikan secara terbuka, terus digunakan sebagai asas untuk membuat tuduhan tidak berasas baharu terhadap 1MDB."
Ia dibuat selepas penangkapan bekas pengarah PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo oleh pihak berkuasa Thailand Isnin lepas kerana memeras ugut dan melakukan pemerasan berhubung maklumat sulit mengenai usaha sama PetroSaudi dengan 1MDB pada 2009 .
Akhbar pro-kerajaan New Straits Times, memetik seorang jurucakap yang tidak disebut namanya dari firma keselamatan siber swasta Protection Group International (PGI), mendakwa Justo mengubahsuai emel yang diambil daripada PetroSaudi.
PGI dilaporkan berkata, siasatan awal ke dalam emel yang bocor menunjukkan Justo mengubahsuainya untuk memberi gambaran negatif kepada 1MDB.
Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge selepas Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkhususkannya dan memberi amaran kepadanya berhubung "laporan palsu" yang diterbitkan mengenai isu 1MDB itu.
Zahid berkata, emel yang diubahsuai itu dijadikan asas oleh Sarawak Report dalam membuat pendedahan mengenai 1MDB, dan ia seterusnya diterbitkan oleh The Edge.
1MDB kini menjadi subjek inkuiri beberapa pihak berkuasa, termasuk Ketua Audit Negara, Bank Negara, polis dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Pihak berkuasa ini mempunyai semua maklumat yang berkaitan, dan kami meminta semua pihak menunggu hasil dapatan mereka sebelum terus membuat tuduhan dan terburu-buru menjatuhkan hukuman," kata syarikat itu hari ini.
sumber
No comments: