Semua keputusan perniagaan dan pengurusan berkaitan firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diputuskan lembaga pengarahnya, dedah Putrajaya hari ini, beberapa hari selepas tersebarnya dokumen menunjukkan perdana menteri mempunyai kuasa muktamad dalam memberi kelulusan.
Kementerian Kewangan dalam satu jawapan bertulis mengatakan pengarah dan pengurusan 1MDB merupakan pembuat keputusan utama dalam semua urusannya.
"Semua keputusan dan urus niaga 1MDB adalah dibuat oleh pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB," katanya kepada ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.
Baru-baru ini didedahkan, Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB menunjukkan perdana menteri memegang kata putus dalam urusan syarikat yang sarat dibebani hutang itu.
Datuk Seri Najib Razak merupakan menteri kewangan dan juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Terdahulu, laporan berita mengatakan Perkara 117 Memorandum dan Artikel Persatuan itu menyatakan perdana menteri perlu memberi kelulusan bertulis bagi semua urusan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), termasuk pelaburannya atau sebarang tawaran untuk penyusunan semula.
TIA ialah nama 1MDB sebelum ini, ditubuhkan untuk melabur dan menguruskan kekayaan daripada sumber minyak dan gas Terengganu.




No comments: