Pindaan Rang Undang-Undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dijangka akan disiapkan sepenuhnya Oktober ini dan diserahkan ke Parlimen untuk pembentangan, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memberitahu Dewan Rakyat, pindaan baru bagi kedua akta itu dibuat secara menyeluruh dengan menyelaraskannya berdasarkan landskap situasi semasa.
"Dahulu tidak ada tapisan dalam Internet bagi sebarang doktrin atau kenyataan yang bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
"Tetapi dalam pindaan ini, kita akan sesuaikan dengan Akta Hasutan. Sama seperti ia disesuaikan dengan Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA).
"Ini kerana, waktu dulu, aspek media sosial tidak akan jadi perkara besar. Kita akan selesaikan dengan perkara baru agar masyarakat kita dapat dilindungi," katanya hari ini.
Beliau berkata kajian mengenai peruntukan dalam pindaan rang undang-undang tersebut bukan saja digubal untuk menangani isu yang berlaku di media sosial, namun turut diperkukuhkan dengan elemen lain selaras dengan usaha kerajaan mencapai negara digital atau 'smart nation'.
"Kementerian kita sedang menyemak semua bagi menambah baik akta tersebut daripada segi peruntukan dan pentadbiran.
"Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia kita lihat semula peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam mempertingkatkan capaian rangkaian telekomunikasi seluruh Malaysia," katanya.
Shabery berkata demikian ketika menjawab soalan Gooi Hsiao-Leung (Alor Setar-PKR) yang meminta menteri tersebut menyatakan peruntukan yang dicadangkan bagi pindaan dua rang undang-undang tersebut sepertimana diumumkan pada Mac lalu.
Gooi dalam soalan tambahannya juga bertanya kepada Shabery sama ada kementerian itu membabitkan badan bukan kerajaan berkaitan ketika mengumpul maklumat dan idea bagi menggariskan peruntukan dalam rang undang-undang berkenaan.
"Untuk makluman, memang kementerian ada berbincang dengan badan berkaitan bagi menggariskan peruntukkan rang undang-undang komunikasi dan multimedia," katanya.




No comments: