» » Penyusutan Ringgit akan tarik lebih ramai pelabur bon


Penyusutan ringgit mungkin akan menarik lebih ramai pelabur baharu dalam pasaran bon, kata Dekan Fakulti Perniagaan, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Dr Yeah Kim Leng.

Beliau berkata, pelabur baharu perlu merebut peluang sementara itu ketika persekitaran ringgit yang lebih lemah kerana ia menawarkan titik kemasukan yang murah kepada pasaran bon.

"Malaysia hanya perlu memastikan ia mempunyai dasar yang boleh dipercayai. Mengekalkan dasar dan konsistensi dalam dasar adalah kunci kerana pelabur mahu persekitaran yang boleh dijangka," kata Yeah selepas Bank Pembangunan Asia (ADB) membentangkan laporan terbarunya, Mengawasi Bon Asia.

Laporan itu berkata, walaupun wujud ketidaktentuan pasaran berikutan peningkatan kebimbangan global, suku pertama 2015 menyaksikan pasaran bon tempatan, di Asia Timur yang sedang muncul, terus berkembang.

Yeah berkata, pelabur perlu melihat kelemahan dalam ringgit sebagai sementara, satu fenomena kitaran.

"Jika mereka melabur sekarang, dalam jangka panjang mereka boleh menjangka ringgit akan mengukuh dan pengukuhan ringgit akan meningkatkan pulangan mereka.

"Saya berpendapat apa yang penting ialah keyakinan.

"Pelabur kewangan baharu akan memasuki pasaran jika kerajaan mampu meyakinkan pelabur asing mengenai kestabilan ekonomi negara untuk mengekalkan pertumbuhan semasa dalam usaha mencapai pertumbuhan tinggi yang kita impikan," katanya.

Di segi ekonomi yang berkembang, ia bermakna syarikat dan industri boleh mencatat untung dan mampan, kata Yeah.

"Ekonomi sebenar perlu berprestasi baik untuk memberi ganjaran kepada pelabur kewangan," tambahnya.

Sementara itu, perbezaan kadar faedah di antara melabur di Malaysia berbanding melabur di AS atau Eropah, masih agak besar, kata Yeah, merujuk kepada pelabur semasa dan lama atau pelabur bon yang memasuki pasaran lebih awal.

"Masih terdapat perbezaan 2% dalam hasil, oleh itu masih terdapat penampan jika berlaku pulangan yang terhakis," katanya.

Menurutnya, apabila berlaku perbezaan kadar pertukaran, penampan masih dapat memberi perlindungan, membolehkan pulangan positif kepada pelabur semasa.

"Oleh itu ia tidaklah teruk sangat kerana ia bukannya persekitaran pulangan negatif (untuk Malaysia).

"Pelabur semasa perlu terus kekal dan mempunyai pandangan yang kelemahan semasa (ringgit) adalah sementara, kerana dari segi perspektif asas ekonomi negara, ringgit berada di bawah nilai.

Prospek jangka panjang ekonomi perlu menjadi pertimbangan utama, tambahnya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .