Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau dan isteri akan nyenyak tidur sebantal setelah mendapat sokongan rakyat Sarawak.
Serentak itu, beliau memberi kata dua agar jangan menguji beliau kerana katanya, darah yang mengalir dalam tubuhnya bukan darah sembarangan.
Beliau dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat #sarawakfornajib di Stadium Perpaduan di Kuching, semalam.
Sarawak buatkan PM boleh tidur nyenyak
"Saya tidak akan patah semangat, darah dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat ada kalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat kepahlawanan tetap ada dalam diri saya.
"Jangan pandang rendah saya, saya akan terus berjuang, dan saya yakin BN Sarawak akan bersama saya," katanya.
Sebelum ini, ketika berucap di majlis pelancaran laporan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Najib berkata, pantang pahlawan Bugis menyerah kalah.
Keturunan Najib dikatakan datang daripada keluarga diraja Kabupaten Gowa di Sulawesi selatan. Beliau sendiri mendapat gelaran “Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone” pada 2005 yang menjadikan beliau “Pahlawan Gowa”.
Sarawak menjadi negeri terkini, selepas Sabah, Pahang dan Perlis, yang “mengikrarkan” sokongan kepada beliau dalam rangka lawatannya ke seluruh negara bagi melawan cabaran terhadap pemerintahannya.
Tambah Najib lagi:"Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem) tadi kata awak tidak berseorangan, saya sambut dengan (berkata) saya gembira kerana saya tidak berseorangan. Malam ini saya boleh tidur nyenyak, isteri saya pun boleh tidur nyenyak, kami tidur sebantal, mimpi pun sama, kami rasa lega kerana Sarawak BN jelas begitu ikhlas menyokong, saya boleh baca hati orang."
Malam ini mereka nyenyak tidur sebantal
Sambil menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib berkata:"Dia (Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem) hanya minta satu penggal saja - lima tahun lagi pentadbiran - bukannya 22 tahun."
Katanya lagi:“Ini zaman saya sebagai PM (perdana menteri), takkan saya kena turun kerana kehendak seorang. Saya dipilih siapa? Rakyat bukan rakyat Malaya (semenanjung Malaysia) saja. Rakyat Sarawak juga memilih saya sebagai 'Apai Besai'. Saya nak tanya orang Sarawak... nak lagi saya jadi PM ke tidak?”
"Saya akan terus pimpin negara kita, saya akan terus berjuang kerana banyak agenda kita belum selesai, paling utama kita nak wujudkan sebuah negara Malaysia yang maju.”
Isi hati Najib
Kalau Najib kata beliau boleh baca hati orang, kita pun boleh baca hati beliau. Beliau sebenarnya tidur tak nyenyak walaupun tidur sebantal dengan isterinya.
Misalnya, beliau memilih negeri kelahiran beliau sendiri (Pahang) dan disusuli Sabah, Perlis dan Sarawak kerana beliau tahu mudah mendapat audiens yang ramai bagi menyambut beliau serta bertempek sorak dengan beliau di negeri-negeri luar bandar yang miskin.
Ini adalah selaras dengan pergantungan Barisan Nasional kepada kerusi luar bandar. Lawatan ke Sarawak mempunyai erti tambahan kerana negeri itu akan mengadakan pilihan raya dewan undangan tidak lama lagi.
Kemenangan besar BN Sarawak penting untuk kelangsungan pentadbiran Najib. Tetapi tidak seperti di Semenanjung dan Sabah, BN pusat tidak mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Sarawak kerana BN Sarawak terdiri daripada parti-parti anak negeri. Parti BN pusat tidak diwakili di negeri itu.
Jerayawara (roadshow) ke negeri-negeri miskin ini juga penting kepada Najib kerana audiens umumnya tidak tahu dan tidak faham isu besar yang menghimpit kepemimpinan beliau seperti 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai ringgit dan hutang negara yang semakin meruncing akibat kelemahan mata wang.
Beliau hanya perlu berpidato berapi-api dan menjanjikan habuan itu dan ini sambil mendabik dada mengatakan yang beliau berdarah raja.
No comments: