DAP mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan mengapa Putrajaya masih belum mengarahkan juruaudit antarabangsa Deloitte mengaudit akaun 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lebih 2 bulan selepas tahun kewangannya berakhir.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata Kementerian Kewangan dan pengarah syarikat itu melanggar Akta Syarikat dengan "enggan membenarkan Deloitte" memulakan audit cabang terhadap dana pelaburan negara yang dibebani hutang itu.
Katanya, Fasal 160(1) Akta Syarikat menyatakan, laporan syarikat yang sudah diaudit mesti diajukan kepada Suruhanjaya Syarikat dalam tempoh 6 bulan selepas berakhirnya tahun kewangan.
Bagaimanapun, memandangkan saiz dan kerumitan syarikat itu, serta tiadanya tarikh ditetapkan untuk audit itu dimulakan, Pua berkata, pasti 1MDB tidak dapat mengemukakan penyata kewangannya kepada suruhanjaya sebelum tamat tempohnya.
"Malah, Seksyen 171(1) akta itu menetapkan, hukuman penjara 5 tahun atau denda RM30,000 'jika mana-mana pengarah syarikat gagal mematuhi atau mengambil segala langkah munasabah untuk memastikan pematuhan oleh syarikat itu atau dengan sengaja menyebabkan keingkaran syarikat itu, dia melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini’.
"Oleh itu, Kementerian Kewangan dan pengarah syarikat itu dengan sengaja melanggar undang-undang dengan enggan membenarkan Deloitte memulakan audit ke atas syarikat itu, yang akan mengakibatkan kegagalan syarikat itu mengemukakan akaunnya sebelum tarikh akhir 30 September 2015," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua publisiti DAP itu menggesa suruhanjaya agar tidak memberi sebarang lanjutan kepada 1MDB, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini dalam kes pulangan tahunan 1MDB.
Beliau berkata, pengarah syarikat perlu berdepan undang-undang jika 1MDB tidak mengemukakan akaunnya sebelum tarikh ditetapkan.
"Kami juga menggesa perdana menteri segera mengarahkan 1MDB membenarkan Deloitte menjalankan audit ke atas mereka dengan serta merta bagi melindungi reputasi Kementerian Kewangan dan menegakkan tadbir urus korporat yang baik dan integriti kewangan 1MDB.
"Pastinya, setelah banyak kali Najib menggunakan nama baik Deloitte untuk mewajarkan keadaan kewangan 1MDB pada 31 Mac, 2014 beliau seharusnya mengalu-alukan audit itu bagi membuktikan 1MDB terus kekal bukan saja sebagai satu usaha berterusan, tetapi syarikat yang kukuh dengan potensi besar pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2015."
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan semalam, Deloitte yang kali terakhir mengaudit akaun 1MDB untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2014 tidak menerima arahan untuk memulakan audit tahun ini.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, juruaudit yang dilantik memerlukan kira-kira 3 bulan bagi melengkapkan akaun untuk satu tahun kewangan, dan lebih daripada itu, ia dianggap "lambat".
Deloitte merupakan juruaudit semasa 1MDB selepas mengambil alih daripada satu lagi firma terkemuka, KPMG.
Sejak penubuhannya, 1MDB menukar juruauditnya sebanyak 3 kali.
Nur Jazlan berkata, PAC akan memanggil KPMG minggu depan kerana ia mengaudit akaun 1MDB dari 2011 hingga 2012.
Ini akan disusuli dengan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang akan dipanggil pada Ogos.
Selain PAC, ketua audit negara juga sedang menyemak akaun 1MDB, dengan laporan awal dijangka dikemukakan kepada Parlimen bulan ini.
sumber
No comments: