Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan rakyat agar berhati-hati dengan sebarang agenda mengalihkan perhatian mereka daripada persoalan lebih penting melibatkan 1MDB.
Konspirasi pemalsuan email itu juga katanya, tidak menangani beberapa persoalan penting yang pada pandangannya hanya akan terjawab sekiranya Datuk Seri Najib Razak dicutikan daripada tugas sehingga siasatan selesai.
"Jika Najib enggan bercuti, PAS menjangkakan kebarangkalian berulangnya tragedi seperti Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa yang kini mendakwa perdana menteri tidak meluluskan pembelian hartanah kontroversi di Australia, selepas 24 jam beliau mendakwa Najib yang meluluskannya, adalah sangat tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk Annuar yang semalam membuat "pusingan U" apabila mengatakan pembelian sebuah blok pangsapuri di Melbourne oleh Mara Incorporated itu tidak diluluskan perdana menteri, sedangkan pada Rabu, beliau mengatakan ia dilakukan mengikut proses ditetapkan, dan malah diluluskan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Najib.
Tuan Ibrahim berkata, Najib patut bercuti memandangkan kedudukan beliau sebagai presiden Umno sudah selamat sehingga 2017 susulan keputusan Majlis Tertinggi Umno semalam menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan.
"Atau Najib bimbang akan langkah seterusnya yang bakal diambil Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menyuarakan beliau tidak bersetuju Putrajaya terlibat dengan kerja menyelamatkan 1MDB?
"Maka, beliau enggan bercuti sehingga siasatan terhadap 1MDB dan Mara selesai?" soalnya.
Beliau berkata, antara persoalan yang masih belum menemui jawapannya ialah berhubung tanah milik 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli Lembaga Tabung Haji pada harga yang jauh lebih tinggi dari harga dibayar 1MDB kepada kerajaan.
"Mengapa Tabung Haji perlu membeli tanah TRX secara tunai? Mengapa Tabung Haji menghadapi masalah menjual semula tanah tersebut?" soalnya.
Beliau juga dalam kenyataannya menyentuh isu wang 1MDB yang dikatakan dilabur di Kepulauan Cayman dan kemudiannya dikeluarkan tetapi tidak dibawa balik ke Malaysia, sebaliknya disimpan di sebuah bank di Singapura.
"Apa sebenarnya yang dilaburkan 1MDB di Kepulauan Cayman sehinggakan ‘duit’ yang sepatutnya dibawa balik kini hanya berada dalam bentuk ‘unit’ yang tidak diketahui usulnya di Singapura?
"Mengapa ada bank antarabangsa yang menuntut 1MDB membayar balik duit pinjaman lebih awal sebelum habis tempoh?
"Mengapa kerajaan perlu menyediakan kredit tersedia sebanyak RM950 juta untuk 1MDB? Apakah duit ini pun dihabiskan?
"Di mana duit 1MDB dan mengapa 1MDB menghadapi masalah dalam membayar hutangnya?" kata Tuan Ibrahim menyenaraikan soalan yang katanya hanya boleh ditemui jawapannya sekiranya Najib dicutikan.
sumber
No comments: