» » 'K'jaan M'sia tidak peka pada kebajikan rakyat kerana mahu naikkan kadar tol disaat rakyat bergelut dengan GST'


Cadangan menaikkan kadar tol disifatkan sebagai satu tanda Putrajaya tidak peka dengan kesusahan rakyat kerana ia secara tidak langsung akan melibatkan kenaikan harga barang yang berganda, lapor Sinar Harian memetik kenyataan Prof Madya Dr Mohamad Fuad Othman.

Menurut pensyarah kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), rakyat masih belum reda dengan kesan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang melibatkan kenaikan harga barang yang mendadak.

Beliau turut mempersoalkan cadangan tersebut kerana berpendapat kutipan GST terkumpul setakat ini mencecah berbilion ringgit.

"Selalunya tol naik, harga barang pun naik. Jadi, kenaikan barang itu akan berganda. GST sudah kumpul berbilion ringgit, apa perlu nak naikkan lagi kadar tol?

"Gelisah dan rungutan rakyat soal GST belum reda dan kesan sebenar GST itu sudah mula nampak sekarang ini, tapi pada masa yang sama, mereka naikkan tol.

"Kerajaan seolah-olah tidak peka masalah rakyat dan kerajaan rasa jika dilaksanakan juga kenaikan, ia tidak memberi kesan nanti," katanya.

Beliau turut mengkritik cadangan kenaikan kadar tol itu dan menegaskan ia akan menghakis kepercayaan rakyat kepada pemerintah.

Fuad juga mendakwa, pembocoran cadangan kenaikan tol tersebut dibocorkan kepada media minggu lepas kerana "orang dalaman" sudah tidak mampu lagi untuk bersekongkol.

"Isu sebelum ini, 1MDB (1Malaysia Development Berhad) tidak beri kesan terus kepada rakyat, tapi kenaikan tol ini akan membuatkan rakyat terkesan secara langsung.

"Apa kerajaan cakap, rakyat tak percaya dah. Makin lama makin hakis kepercayaan rakyat. Jangan selepas ini dia (kerajaan) marah apabila rakyat tidak sokong, kerana kerajaan sendiri menghakis kepercayaan rakyat," katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga menyarankan agar cadangan dibuat kajian terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

"Kerajaan perlu sedar, orang guna tol hari-hari, terutama yang duduk di Lembah Klang," katanya.

Khamis lalu, Berita Harian melaporkan sebanyak 16 lebuh raya utama di seluruh negara dijangka menaikkan kadar tolnya sebanyak 20 sen hingga RM1 pada Ogos ini jika cadangan kenaikan itu diluluskan Kabinet.

Akhbar kawalan Umno itu memetik Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mengikut perjanjian konsesi, tol semua lebuh raya tersebut sudah lama dinaikkan.

Difahamkan, ekoran penangguhan kadar kenaikan tol itu, semua syarikat konsesi yang terbabit diberi pampasan berjumlah RM558.9 juta.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .