Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihalang daripada bercakap pada dialog "Nothing To Hide" di Kuala Lumpur hari ini mempersoalkan mengapa beliau dihalang selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal hadir.
Bekas perdana menteri itu berkata, Najib gagal menggunakan peluang untuk menjelaskan tentang syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas gagal hadir pada program anjuran SukaGuam di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini.
“Saya orang biasa saja, saya bukan bawa senjata pun. Saya bukan boleh buat apa-apa pun.
“Pasal apa orang nak takut pada saya, semua ini takut atau tidak?” soalnya pada sidang media selepas dihalang polis untuk bercakap pada forum tersebut.
Dr Mahathir berkata, Najib mensia-siakan peluang untuk memenangi sokongan buat dirinya dalam memenangi kepercayaan rakyat dalam menjelaskan skandal yang terpalit dalam pentadbirannya.
"Maksudnya dia hilang peluang untuk menang sokongan bagi diri sendiri.
"Beliau ada peluang untuk jelaskan mana perginya hilang duit 1 Malaysia Developent Berhad, dia hilang peluang," katanya.
Dialog “Nothing to Hide” sepatutnya berlangsung pada pagi ini namun dibatalkan selepas arahan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya program itu dibatalkan dan Najib tidak hadir atas alasan keselamatan.
Sejurus selepas pengumuman pembatalan acara tersebut, ia mencetuskan keadaan tegang kepada lebih 1,000 hadirin yang kebanyakan terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Keadaan mula reda selepas bekas perdana menteri itu mula mengambil alih pentas untuk berucap tetapi kemudiannya kembali tegang apabila polis meminta Dr Mahathir turun pentas.
Dr Mahathir pada sidang medianya apabila ditanya mengenai ketidakhadiran Najib hanya menyifatkan kemungkinan perdana menteri terlalu sibuk dengan urusan rasminya.
"Saya fikir mungkin beliau (Najib) sibuk, dia mesti sibuk saya rasa, mungkin ada urusan rasmi yang lebih penting daripada berjumpa dengan orang," katanya.
Beliau yang sememangnya lantang menuntut pengunduran Najib mengakui mahu mendengar penjelasan perdana menteri itu.
"Saya harap penjelasannya bagus dan saya boleh menyokong beliau (Najib) namun sebab beliau tidak hadir dan jelaskan maka saya tidak boleh sokong beliau," katanya seperti menyindir.
Bekas perdana menteri itu dengan nada bergurau berkata diminta berhenti berucap kerana hadirin terlalu bising ketika ditanya reaksinya mengenai tindakan polis.
"Polis datang kepada saya semasa saya berucap dan minta saya berhenti. Jadi saya berhentilah sebab saya rakyat yang akur dengan perintah," katanya.
sumber
No comments: