Pemimpin DAP, Tony Pua hari ini mempersoalkan kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang menafikan laporan media berkenaan pembubaran syarikat pelaburan strategik milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, Husni tidak sepatutnya menafikan perkara yang begitu jelas dan menanggung beban skandal syarikat yang sarat dibebani hutang bernilai RM42 bilion itu.
"Meskipun isu itu jelas, Husni memilih untuk menafikan laporan tersebut," kata Pua, dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
"Apa lagi masa hadapan yang tinggal untuk 1MDB jika tidak dibubarkan?" soalnya.
Pua berkata demikian susulan kenyataan Husni yang menafikan perkara itu, meskipun agensi berita kebangsaan, Bernama melaporkannya sebelum ini.
Husni sebelum ini menafikan laporan yang berkata Putrajaya akan membubarkan 1MDB, pada saat orang ramai masih keliru dengan status sebenar pelaburan dana dan aset syarikat itu.
Beliau dilaporkan menolak dakwaan itu ketika diminta mengesahkan laporan Bernama yang menyatakan 1MDB kemungkinan akan dibubarkan berikutan perjanjian dengan Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) dan Aabar Investments, yang boleh mengurangkan bebanan hutang syarikat itu sebanyak RM16 bilion, seperti dilaporkan Malay Mail Online sebelum ini.
Pada Jumaat lalu, Husni dilaporkan berkata, Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia akan diasingkan daripada 1MDB di bawah pelan rasionalisasi syarikat tersebut.
Husni berkata, TRX dan Bandar Malaysia akan menjadi entiti bebas bagi mengumpul ekuiti melalui pihak ketiga sebelum menyalurkan dana bagi mengurangkan hutang 1MDB.
Beliau bagaimanapun berkata, Kementerian Kewangan kekal sebagai pemegang saham utama TRX dan Bandar Malaysia.
"Bernama, agensi berita rasmi kerajaan tidak mungkin salah," kata Pua.
"Inilah sebabnya, komuniti kewangan dan rakyat Malaysia masih keliru dengan 'flip-flop' diberikan menteri dan 1MDB, mengakibatkan kurangnya keyakinan dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.
Pua berkata, pihaknya menasihati Husni supaya berdepan kebenaran dan tidak cuba memutar belit fakta.
"Kenapa menteri kewangan kedua menanggung beban dalam skandal terbesar dalam sejarah Malaysia? Jujurlah, dan ia langkah yang paling bijak untuk memastikan reputasinya tidak menjunam."
sumber




No comments: